Date: Rabu, Disember 6, 2023

PUTRAJAYA – Pada 5 Disember 2023 (Selasa), Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2023 telah disempurnakan perasmiannya oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim di Dewan Damar Sari.

Ucapan Aluan telah disampaikan oleh Yang Berhomat Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi manakala Ucapan Penutup oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), Yang Berbahagia Dato’ Ir. Hj. Badioezaman Bin Ab Khalik merangkap Pengerusi HPTN Tahun 2023.

Hadir sama adalah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato' Seri Mohd Zuki bin Ali; Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Dato' Sri Abdul Rahman Bin Mohamad; YBhg. Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya dan Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Datuk Ir Ahmad Redza bin Ghulam Rasool.


HPTN merupakan platform bagi agensi teknikal kerajaan dan swasta untuk berkongsi ilmu, pengalaman serta menyuburkan kesedaran tentang pentingnya pematuhan kepada aspek-aspek kejuruteraan dan teknikal serta `Best Practices’ dalam pelaksanaan pembangunan negara.

Pelbagai pengisian aktiviti telah disusun oleh pihak penganjur sepanjang program HPTN berlangsung:

  1. Majlis pra pelancaran HPTN
  2. Siri perkongsian ilmu sama ada melalui sesi wacana, webinar dan bicara teknikal.
  3. Pelaksanaan program libat urus / Corporate Social   Responsibility (CSR)
  4. Penyampaian Anugerah Profesion Teknikal/ Industri;
    1. Anugerah Kecemerlangan Inovasi Kejuruteraan 2023
    2. Anugerah Tokoh Muda Kejuruteraan Negara 2023
    3. Anugerah Tokoh Kejuruteraan Negara 2023
  5. Acara pertandingan dan sukan;dan
  6. Karnival Kerjaya

Sempena HPTN 2023, Syiling Peringatan 150 Tahun JKR Malaysia telah dilancarkan hasil kolaborasi JKR Malaysia bersama Bank Negara Malaysia. Syiling Peringatan ini diilhamkan daripada sumbangan besar JKR Malaysia kepada pembangunan infrastruktur dan pemodenan negara.

Selain itu, turut diadakan penyerahan dokumen Prakarsa Pemartabatan Profesion Teknikal Negara 2023-2027 kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Dokumen ini disediakan bagi memastikan pelaksanaan HPTN yang lebih teratur dan komprehensif dari segi pengisiannya dalam tempoh lima (5) tahun akan datang.

Malaysia sebagai sebuah negara yang pesat membangun memerlukan ramai tenaga mahir dalam bidang teknikal khususnya bagi membantu mencorakkan landskap pembangunan dan kemodenan negara. Oleh itu, Pemilihan tema “PROFESION TEKNIKAL PEMACU PEMBANGUNAN MADANI” pada tahun ini bertepatan dengan hasrat negara untuk mencapai status negara maju di masa hadapan.

Amat membanggakan, sambutan Acara Kemuncak HPTN 2023 pada 4 Disember dan
5 Disember 2023 telah merekodkan kehadiran fizikal melebihi 5,000 orang peserta. Syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat dalam penganjuran HPTN 2023!

Untuk maklumat lanjut berkenaan sambutan HPTN 2023, sila layari laman web rasmi HPTN di alamat https://hptn-my.com/ (link is external) atau akaun Facebook rasmi HPTN https://www.facebook.com/hariprofesionteknikalnegara (link is external) .