Date: Selasa, Disember 4, 2018

Jabatan Kerja Raya (JKR) buat julung kalinya pada tahun ini telah menganjurkan Hari Profesion Teknikal Negara JKR 2018 (HPTN JKR 2018) pada hari Selasa, 4 Disember 2018 bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya.

Program dua (2) hari yang diadakan sehingga Rabu, 5 Disember 2018 ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya dan diiringi oleh Yang Berhormat Tuan Haji Mohd Anuar bin Mohd Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya, YBhg. Dato' Sri Zohari bin Haji Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Sr. Aziz bin Abdullah, Ketua Pengarah Lembaga Lebuh Raya Malaysia dan YBhg. Dato’ Ir.  Ahmad Asri Bin Abdul Hamid, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan serta pegawai – pegawai kanan Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya. Hadir sama Yang Berhormat Datin Mastura binti Tan Sri Dato’ Mohd Yazid, Ahli Parlimen Kuala Kangsar.

Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada 3 Oktober 2018 bersetuju dengan mengisytiharkan Hari Profesion Teknikal Negara pada hari Sabtu pertama bulan Disember setiap tahun bagi memperingati penubuhan JKR pada 3 Disember 1872. Objektif utama program HPTN JKR 2018 adalah untuk menghargai sumbangan dan khidmat bakti serta peranan para Profesion Teknikal dalam usaha membangunkan Negara. Selain itu, HPTN juga sebagai platform kepada Profesion Teknikal menyuarakan pandangan dan idea-idea bernas serta peluang untuk berinteraksi dengan masyarakat bagi meningkatkan martabat dan taraf Profesion Teknikal.

Pengisian program yang telah diatur untuk program dua (2) hari ini antaranya;

  1. Anugerah Tokoh Teknikal Peringkat JKR Tahun 2018. Pengiktirafan tahunan yang baharu diperkenalkan ini diadakan sebagai pengiktirafan kepada jasa dan sumbangan dalam Profesion Teknikal kepada negara, yang mana dikhususkan pencalonannya kepada individu yang masih atau pernah berkhidmat dengan JKR.
  2. Penyampaian Sijil ASEAN Chartered Professional Engineer Certificate Presentation yang mana sijik ini melayakkan penerima mangamalkan praktis kejuruteraan di negara – negara Asia Tenggara.
  3. Pertandingan Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM) oleh Lembaga Jurutera Malaysia (BEM)
  4. Sesi perkongsian kertas kerja teknikal (Technical Talk) oleh para penceramah yang dijemput khas daripada Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman. Para panel penceramah jemputan seperti berikut;
  1. Prof (B) Dr. Ir. Maulad Abdul Latif
    Tajuk: Engineers as President or CEO
  2. Ir. Suhaizad Bin Hj. Sulaiman
    Tajuk: Requirement for Professional Engineer (PE)
  3. Ir. Prem Kumar
    Tajuk: Professional Engineer with Practicing Certificate (PEPC)
  4. Ir. Hizamul Din Bin Ab Rahman
    Tajuk: How to become registered person (PE, PEPC & IOW) with BEM
  5. Ir. Dr. Muhammad Fuad Bin Abdullah
    Tajuk: Continuing Professional Development (CPD)
  6. Datuk Paduka Ir. Keizrul Bin Abdullah
    Tajuk: Professional Practice Issues (Code/Conduct)
  7. Ir. K. Sundraraj
    Tajuk: Introduction & Becoming Inspector of Works (IOW) with BEM

Dua (2) anugerah telah disampaikan pada program kali ini iaitu ASEAN Chartered Professional Engineer Certificate Presentation dan Anugerah Tokoh Teknikal Peringkat JKR Malaysia. Bagi ASEAN Chartered Professional Engineer Certificate Presentation sijil perhargaan telah disampaikan kepada Ir. Suhaizad bin Hj. Sulaiman manakala Anugerah Tokoh Teknikal Peringkat JKR Tahun 2018 telah dinobatkan kepada YBhg. Tan Sri Ir. Dr. Jamilus bin Hussein.

Selain itu, sebanyak 20 buah gerai pameran daripada pelbagai agensi telah menyertai pameran dengan tujuan berkongsi pengetahuan dan produk berkaitan bidang teknikal dan industri kejuruteraan. Turut  dipamerkan di sekitar dewan adalah jentera berat seperti Roller, Dozer Mounted On Low Loader Trailer, Bridge Inspector Vehicle yang masih tersimpan di worksyop JKR Negeri dan Daerah serta pameran kenderaan siap siaga bencana.

Program berakhir pada jam 4.30 petang dan akan bersambung esok.

 #HPTNJKR2018