Date: Selasa, Ogos 22, 2017

Jabatan Kerja Raya (JKR) buat julung kalinya pada tahun ini telah menganjurkan Hari Teknikal dan Kejuruteraan JKR (HTK JKR) Malaysia  pada 22 Ogos 2017, bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya. Program satu hari ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya dan diiringi oleh YB Datuk Rosnah Binti Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kerja Raya, YBhg. Dato’ Sri Zohari Bin Haji Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Ir. Haji Ismail bin Md. Salleh, Ketua Pengarah Lembaga Lebuh Raya Malaysia dan YBhg. Dato’ Ir.  Ahmad Asri Bin Abdul Hamid, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan serta pegawai – pegawai kanan Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya. Hadir sama YB Datin Mastura Binti Tan Sri Dato’ Mohd Yazid, Ahli Parlimen Kuala Kangsar.

Objektif utama program HTK JKR adalah untuk memberi pendedahan kepentingan teknikal dan kejuruteraan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang mapan dan kelestarian pembangunan sejagat serta sebagai platform orang awam untuk mendapat pendedahan asas berkaitan kejuruteraan dan teknikal dari peringkat akar umbi. Selain itu, ia mendedahkan peranan JKR  dalam membangun, mencorak dan menerapkan ciri-ciri `Best Engineering Practice’ dalam pelaksanaan pembangunan negara.

Anggaran kehadiran peserta adalah seramai 650 orang yang terdiri daripada pelajar Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur (43), SMK Victoria (33), SM (S) Alam Shah (30), SM (S) Seri Puteri (30), SMK Aminuddin Baki (21), SMK ST John (2) dan selebihnya warga kerja JKR, Kader dan agensi luar.

Program satu hari ini telah melibatkan dua (2) sesi perkongsian pengalaman, ceramah kerjaya serta enam (6) sesi perkongsian teknikal oleh penceramah yang dijemput khas seperti berikut;

1)         Perkongsian Pengalaman : Life Working Experiences in JKR and Beyond

Pembentang : Ir. Edward Cheah

Bekas Pengarah Rekabentuk dan Penyelidikan JKR Malaysia

2)         Sesi Imbauan Sejarah Kejuruteraan : Kenangan & Keringat (KKK) 

Pembentang : Ir. Hj. Mat Rosly Bin Mat Daud

3)         Sesi Ceramah Kerjaya

Pembentang : Hj. Meor Mohamed Haris Bin Meor Hussein

4)         Sesi Teknikal No.1 – Kerjaya Jurutera Awam di JKR

Pembentang : Ir. Muhammad Azman Bin Jamrus

5)         Sesi Teknikal No.2 – SERBA SERBI Ar.kitek

Pembentang : Ar. Azman Bin Md. Hashim

6)         Sesi Teknikal No.3 – Melakar Kecemerlangan Dalam Kejuruteraan Mekanikal

Pembentang : Ir. Dr. Abdul Murad Bin Zainal Abidin

7)         Sesi Teknikal No.4 – Laluan Transformasi Juruukur Bahan

Pembentang : Sr Dr. Muhammad Imran Bin Zin Zawawi

8)         Sesi Teknikal No.5 – Kejuruteraan Elektrik di JKR : Pembangunan Kerjaya dan Sumbangan Kepada Negara

Pembentang : Puan Hanifah Binti Abdullah

9)         Sesi Teknikal No.6 – Implementation of Unmanned Aerial Systems (UAS) for Infrastructure Inspection

Pembentang : En. Mohd Azan Bin Mat Jusoh

Anugerah Tokoh JKR turut diwujudkan bagi menghargai jasa warga JKR dalam usaha memartabatkan nama jabatan malahan memberi impak besar kepada JKR khasnya dan negara amnya. Anugerah ini telah dinobatkan kepada En. Omar bin Matek, pesara JKR Daerah Kluang, Johor yang banyak menghasilkan produk - produk inovasi sehingga ke peringkat antarabangsa. Beliau telah menerima sijil penghargaan, sebuah plak Menara Kerja Raya, cenderahati khas sempena HTK JKR 2017 serta wang tunai sebanyak RM 3,000.00.

Majlis turut menyampaikan sijil penghargaan kepada pasukan - pasukan pemasangan jambatan panel keluli bermodular dari tujuh (7) pasukan yang melibatkan 125 orang di atas sumbangan jasa dan keringat tenaga ketika negara mengalami musibah suatu ketika dahulu. Pasukan yang terlibat adalah dari JKR Daerah Johor Baharu, JKR Daerah Kinta, JKR Daerah Machang, JKR Daerah Kuala Pilah, JKR Daerah Petaling Jaya serta Bahagian Jalan JKR Negeri Kedah dan Pahang.

Selain itu, sebanyak 32 buah gerai pameran daripada pelbagai agensi turut memeriahkan program yang julung kali diadakan ini dengan tujuan berkongsi pengetahuan berkaitan bidang teknikal dan industri kejuruteraan. Turut  dipamerkan di ruang letak kereta di sekitar dewan adalah jentera – jentera lama yang masih tersimpan di worksyop JKR Negeri dan Daerah.

Turut dikongsi bersama teks ucapan dan slaid iringan sempena HTK JKR 2017 seperti berikut;

1) YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya

            a) Teks Ucapan Aluan

            b) Slaid Iringan

2) YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya

            a) Teks Ucapan Perasmian

            b) Slaid Iringan

Program berakhir pada jam 4.30 petang.

 #HariTeknikalJKR2017 #infrarakyat #negaraku