Date: Isnin, Jun 29, 2020

Tahniah diucapkan kepada Mejar (B) Ir. Suhaizad Hj. Sulaiman, Jurutera Awam Penguasa Kanan (Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan, JKR) yang telah terpilih untuk mewakili Malaysia ke International Engineering Alliance Meeting 2020 di Afrika Selatan bermula 21 Jun hingga 26 Jun 2020. Mesyuarat ini merupakan mesyuarat yang diadakan pada setiap tahun bagi membincangkan isu-isu berkaitan Pendidikan Kejuruteraan dan Kelayakan Professional di peringkat antarabangsa. Malaysia melalui Lembaga Jurutera Malaysia merupakan penandatangan bagi Washington Accord, Sydney Accord dan Dublin Accord.

 

Malaysia telah diwakili oleh 7 panel dan 1 pemerhati pada mesyuarat tersebut yang dijalankan secara atas talian akibat daripada pandemik COVID-19. Mesyuarat Tertutup Washington Accord telah diadakan pada 22 Jun 2020 bertempat di pejabat Lembaga Jurutera Malaysia. Manakala Mesyuarat Tertutup Sydney dan Dublin Accord telah diadakan pada 23 Jun 2020 di tempat yang sama.

International Engineering Alliance (IEA) adalah organisasi bukan berasaskan keuntungan global yang terdiri daripada anggota dari 41 bidang kuasa daripada 29 buah negara, melalui tujuh (7) Perjanjian Antarabangsa. Perjanjian-perjanjian antarabangsa ini mengatur pengiktirafan kelayakan pendidikan kejuruteraan dan kecekapan profesional. Perjanjian-perjanjian tersebut adalah Washington Accord, Sydney Accord, Dublin Accord, IPEA, APEC, IETA dan AIET.

Melalui Perjanjian Akademik dan Kompetensi, anggota International Engineering Alliance membentuk dan menguatkuasakan standard bertaraf antarabangsa bagi pendidikan kejuruteraan dan kecekapan yang diharapkan untuk latihan kejuruteraan.

Mesyuarat penutup telah diadakan pada 26 Jun 2020 dan Engineering New Zealand selaku Sekretariat mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat. Mesyuarat seterusnya akan diadakan di Ireland.