Date: Rabu, Disember 14, 2016
KUALA LUMPUR 13 Dis. - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V hari ini melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara, di sini.Turut melafaz sumpah memegang jawatan ialah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Kedua-dua baginda dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-243 (Khas) di Istana Negara, 14 Oktober lepas, bagi tempoh lima tahun bermula hari ini.
Sultan Muhammad V, 47, menggantikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 semalam.Upacara di balairung seri hari ini bermula dengan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-244 (Khas) sempena Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh kedua-dua Seri Paduka Baginda.
Memulakan istiadat, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad tampil menyembahkan Surat Sumpah Jawatan kepada Sultan Muhammad V yang kemudiannya melafazkan Sumpah Jawatan sebelum menandatanganinya. Surat Sumpah jawatan itu kemudiannya ditandatangani oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, sebagai saksi.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kemudian menyembahkan pula Surat Sumpah Jawatan kepada Sultan Nazrin yang kemudiannya melafazkan sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong sebelum menandatanganinya. Surat Sumpah Jawatan baginda turut ditandatangani oleh Sultan Mizan dan Tuanku Syed Sirajuddin sebagai saksi. Setelah selesai upacara di balairung seri, YAB Perdana Menteri, mengetuai upacara menghadap diikuti menteri-menteri Kabinet serta orang kenamaan.
(Petikan dari Utusan Malaysia 14 Disember 2016)
YBhg. Dato' Sri Ir. Dr. Roslan Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia turut hadir di di balairung seri, Istana Negara bersama menteri-menteri besar, ketua-ketua menteri, menteri-menteri Kabinet, anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta pegawai tinggi kerajaan. DAULAT TUANKU.
- 696 bacaan