Date: Rabu, Ogos 28, 2024

ALOR GAJAH, MELAKA – YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya telah merasmikan Program “Platform For Exploration; Technical & Design” tahun 2024 (PENTAS) di Dewan CREaTE, JKR pada 22 Ogos 2024 yang lalu. Turut hadir sama YB Dato’ Azhar bin Hj. Arshad, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, YBhg Datuk Seri Hj.Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg Dato’ Ir. Roslan bin Ismail, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, Pengurusan Tertinggi Kementerian Kerja Raya dan Pengurusan Tertinggi Jabatan Kerja Raya.

Bertemakan “Echoes Of Time”, PENTAS 2024 yang dianjurkan oleh CREaTE JKR dengan kolaborasi bersama Cawangan Arkitek diadakan untuk mempromosikan betapa pentingnya pemeliharaan dan pemuliharaan warisan adat budaya dan seni dijadikan gagasan negara sekali gus mendukung usaha dan inisiatif kerajaan negeri Melaka dalam mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024. Seramai 400 orang peserta yang terdiri daripada warga JKR, pemain industri dan orang awam telah hadir menyertai program ini.

PENTAS 2024 yang berlangsung selama tiga (3) hari bermula 20 Ogos hingga 22 Ogos 2024 mengetengahkan tiga elemen utama iaitu SPEAKER SERIES, PUBLIC WORKS DESIGN FORUM (PDF) dan SERAMBI WARISAN. Ianya diwarnai melalui seminar dengan menampilkan pakar-pakar bidang teknikal sektor pembinaan bagi berkongsi pengalaman dalam pengurusan aset, pemuliharaan warisan serta perancangan pembangunan yang melibatkan elemen warisan dan budaya.

Seterusnya SERAMBI WARISAN pula melalui bengkel berkonsepkan pentas mini dengan pengisian pelbagai aktiviti kesenian, kebudayaan dan tradisi secara hands-on seperti Pentas Tari, Pentas Bina, Pentas Lukis, Pentas Canting, Pentas Muzik, Pentas Busana dan Pentas Kuih.  

Ketiga-tiga elemen tersebut secara tidak langsung mempamerkan keunikan dan nilai kebersamaan, keterangkuman serta permuafakatan sedia wujud dalam fabrik masyarakat, di samping menekankan kepentingan memelihara dan memulihara warisan serta budaya tanah air yang merupakan khazanah tidak ternilai yang mesti dilindungi dan dipelihara, supaya terus menjadi kebanggaan semua

Melalui usaha ini, CREaTE mengajak orang ramai untuk turut bersama-sama memelihara dan memulihara khazanah warisan serta budaya tanah air agar ianya dapat dikekalkan dan dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat.