Date: Isnin, Ogos 22, 2022

Jelajah FTRoadpedia meneruskan misi tinjauan infrastruktur Keluarga Malaysia dengan siri jelajah kali kedua di Zon Selatan (FTRoadpedia Zon Selatan 2.0), bermula pada 18 hingga 20 Ogos 2022 diketuai oleh Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof.

Jelajah ini menelusuri tiga buah negeri iaitu negeri Pahang, Negeri Sembilan dan Johor. Turut serta bersama dalam jelajah ini ialah Ketua Pengarah dari agensi Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), Dato’ Seri Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Dato’ Ir. Mohd Shuhaimi bin Hassan dan Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Ir. Ahmad ‘Asri Abdul Hamid.

Lokasi pertama tinjauan FTRoadpedia Zon Selatan 2.0 adalah di lokasi Rumah Kekal Banjir (RKB) di lokasi pembinaan di Kg. Tanjung Belengu. Premis yang direkabentuk oleh JKR di bawah Projek Kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) untuk daerah Temerloh, Pahang ini telah siap sepenuhnya pada Julai 2021.

Jelajah seterusnya meninjau lokasi laluan Jalan Persekutuan F10, Seksyen 61 Sungai Cermai, Jalan Gemas - Kemayan, Jempol yang mengalami masalah jalan berpasir sewaktu hujan lebat. Kerja penambahbaikan sedang giat dilaksanakan di lokasi ini.

Ahli jelajah FTRoadpedia Zon Selatan 2.0 tiba di negeri Johor di lokasi terakhir tinjauan pada hari ini iaitu di laluan Jalan Persekutuan FT3, Seksyen 169.50-169.30, FT3, Endau, Johor. Laluan ini disenggara di bawah pelaksanaan kontrak Performance Based Contract - PBC”.

Hari kedua Jelajah FTRoadpedia Selatan 2.0 diteruskan dengan tinjauan ke lokasi yang menerima jumlah aduan yang tinggi daripada pengguna jalan raya. Lokasi tersebut adalah di beberapa seksyen Jalan Persekutuan FT003.

Seksyen pertama tinjauan di laluan FT003 adalah di Sek 83.00 – 88.00, Mersing – Kota Tinggi Kerja penyenggaraan yg akan dilaksanakan di lokasi ini ialah kerja penyenggaraan pembaikan pavemen, pembaikan bahu jalan dan juga pembaikan garisan jalan.

Lokasi seterusnya adalah di Seksyen 49.00 FT003 Hutan Lipur Panti, Kota Tinggi. Lokasi ini sering menerima aduan kemalangan melibatkan haiwan liar seperti gajah, selain aduan kerosakan jalan. Lokasi ketiga adalah Seksyen 35 laluan Jalan Persekutuan FT3 Simpang Ke Kulai, Kota Tinggi. Lokasi ini menerima aduan kerosakan jalan akibat tampalan berulang, rutting, shoving dan jalan retak.

Selain Jalan Persekutuan, ahli jelajah FTRoadpedia Zon Selatan 2.0 turut dibawa meninjau tapak projek Pembinaan Directional Ramp di Persimpangan Senai Desaru Expressway (SDE) selepas Plaza Tol Penawar menghala ke Bandar Penawar / Pengerang di Jalan Persekutuan FT92.

Projek ini melibatkan skop kerja membina directional ramp dua (2) lorong sepanjang 1525 meter, menaik taraf laluan Kota Tinggi dan laluan Kg. Tg. Balau kepada 4 lorong 2 hala sepanjang 250 meter, kerja pengalihan utiliti dan juga memasang perabot jalan.

Hari ketiga dan penutup bagi siri Jelajah FTRoadpedia Zon Selatan 2.0 ini diakhiri dengan tinjauan projek cadangan menaik taraf jalan di Jalan Persekutuan FT050 dari Ayer Hitam ke Kluang di Seksyen 33.8 hingga ke persimpangan stadium Kluang di Seksyen 49.1.

Jalan ini merupakan laluan utama tanpa tol yang menghubungkan daerah Batu Pahat, Kluang dan Mersing. Lokasi ini adalah lokasi cadangan bagi projek Fasa 3B yang melibatkan skop projek membina bahu jalan, median, pusingan U dan juga kerja-kerja berkaitan. Projek ini adalah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang dilaksanakan bagi mengurangkan kemalangan maut sepanjang jajaran ini.

Kementerian Kerja Raya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ibu Pejabat JKR Malaysia, Jabatan Kerja Raya Negeri Pahang, Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan, Jabatan Kerja Raya Negeri Johor, pihak konsesi serta semua agensi yang terlibat atas kerjasama dan penat lelah dalam menjayakan Jelajah FTRoadPedia Zon Selatan 2.0 ini.

Sebagai peneraju infrastruktur negara, KKR melalui JKR sudah semestinya akan sentiasa komited dan memberi perhatian dalam pelbagai aspek terutama aspek keselamatan bagi memastikan infrastruktur negara sentiasa dalam keadaan baik demi kesejahteraan dan keselesaan Keluarga Malaysia.