Date: Rabu, Ogos 17, 2022

Pada 11 Ogos 2022, Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato' Sri Haji Fadillah Haji Yusof mengetuai rombongan FTRoadPedia Zon Timur 3.0 bersama Ketua-ketua Agensi dan Pengurusan Tertinggi KKR menaiki bas dari Kementerian Kerja Raya untuk menelusuri Jalan Persekutuan lebih 1000km dari Kuala Lumpur - Pahang - Kelantan – Perak. Program ini berlangsung selama 3 hari bermula 11 Ogos 2022 (Khamis) sehingga 13 Ogos 2022 (Sabtu).

Untuk hari pertama, rombongan jelajah bergerak ke lokasi 1 melalui FT218 (Sungai Teras, Raub) untuk meninjau pemasangan Jambatan Bailey. Kemudian rombongan bergerak ke lokasi 2 menuju FT08 (Benta, Lipis) untuk tinjauan Pembaikan Jalan Runtuh. Seterusnya, bergerak ke Lokasi 3, Kesedar inn untuk rehat dan makan tengahari. Jelajah diteruskan ke Lokasi 4 (lokasi terakhir untuk hari pertama) iaitu tinjauan Projek Jambatan Sungai Durian, Kuala Krai.

Pada hari kedua, Program FTRoadpedia diteruskan ke Lokasi 5 iaitu Projek Jejambat Wakaf Bharu. Selepas itu, rombongan jelajah bertolak ke Masjid Kelawang Kuala Krai untuk rehat dan solat Jumaat. Seterusnya, Jelajah FTRoadpedia diteruskan ke Lokasi 7 dengan menyelusuri laluan FT185 Lojing, Kelantan. Jelajah FTRoadpedia Zon Timur 3.0 pada hari kedua berakhir di Brinchang.

Hari terakhir jelajah FTRoadpedia diteruskan ke Lokasi 8, melalui FT185 untuk ke lokasi Pembaikan Cerun. Jelajah diteruskan ke Lokasi 9 untuk meninjau Projek Pembinaan Jambatan Pos Slim, Daerah Kinta, Perak melalui FT185. Seterusnya jelajah diteruskan ke Ibu Pejabat JKR Perak, Ipoh, sebagai lokasi terakhir jelajah FTRoadpedia Zon Timur 3.0.

Turut serta dalam Jelajah FTRoadpedia Zon Timur 3.0 ini ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir Bin Hj Wan Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, YBhg. Dato’ Seri Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman, Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, YBhg. Dato' Ir. Ahmad 'Asri Abdul Hamid, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Dato’ Ir. Mohd Shuhaimi bin Hassan, RakanKKR serta rakan-rakan Media.

Kementerian Kerja Raya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Kerja Raya Negeri Pahang, Jabatan Kerja Raya Negeri Kelantan, Jabatan Kerja Raya Negeri Perak serta pihak konsesi atas kerjasama dan penat lelah dalam menjayakan Jelajah FTRoadPedia Zon Timur 3.0 ini.

Semoga segala apa yang dirancangkan dapat dilaksanakan dengan baik dan diberkati Allah hendaknya.