Date: Jumaat, Mei 20, 2016

Penganjuran program JKR BIM + ASSET DAY 2016 yang diadakan pada 19 Mei 2016 di Auditorium Sasana Kijang Kuala Lumpur merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) bagi meningkatkan tahap kefahaman dan kesediaan kakitangan jabatan serta stakeholders lain untuk melaksana Building Information Modeling (BIM) melalui pendedahan kepada perkembangan semasa BIM dalam industri pembinaan serta pengurusan aset menyeluruh.

Program yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Y.Bhg. Dato’ Sri Zohari bin Haji Akob ini juga turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Kerja Raya Y.Bhg. Datuk Ir Adanan Mohamed Hussain, Ketua Eksekutif CIDB YBhg. Dato’ Ir. Ahmad Asri Abdul Hamid dan beberapa pegawai kanan dari pihak pengurusan atasan JKR Malaysia dan CIDB. Jumlah kehadiran yang dilaporkan adalah seramai 350 orang termasuk peserta, penceramah, peserta pameran dan urusetia program.

Penggunaan BIM dalam semua kitar hayat pelaksanaan projek adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk mentransformasikan perkhidmatan awam dan sektor pembinaan negara dengan memberi fokus terhadap penghasilan outcome yang lebih baik serta cepat sepertimana yang dijelaskan dalam teras strategik Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK11) iaitu ’Merekayasa pertumbuhan ekonomi untuk peningkatan kemakmuran’.

Teras Strategik Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020 pula menyenaraikan BIM sebagai elemen yang mampu meningkatkan tahap produktiviti sektor pembinaan melalui pengurangan kesilapan/konflik rekabentuk dan menghasilkan proses pembinaan yang lebih efisien seterusnya dapat mengurangkan pembaziran serta meningkatkan penjimatan kos pembinaan.

Pelaksanaan BIM dalam projek kerajaan khususnya projek kesihatan, mampu menjadi penggerak ke arah merealisasikan Visi JKR untuk menjadi pemberi perkhidmatan bertaraf dunia dan pusat kecemerlangan dalam bidang pengurusan aset, pengurusan projek dan kejuruteraan untuk pembangunan infrastruktur negara berteraskan modal insan yang kreatif dan inovatif serta teknologi terkini.