Date: Khamis, September 15, 2022

JKR telah memenangi Anugerah Top in Country Innovator of the Year, Autodesk ASEAN Innovation Awards 2022 menerusi Model BIM Projek Klinik Kesihatan Jenis 5 Maran Pahang. Kejayaan ini telah melayakkan JKR mewakili negara sebagai finalis Anugerah Innovator of the Year peringkat Asia Tenggara (ASEAN) dalam Built Environment Xpo Asia (BEX Asia) yang diadakan pada 7 September 2022 di Sands Marina Convention Centre, Singapura. Berikut adalah keputusan dan senarai finalis yang terpilih mewakili negara masing-masing:

Anugerah Innovator of the Year 2022

Juara

PT.PP (Persero) Tbk, Indonesia - Mandalika International Street Circuit

Senarai Finalis

  • JKR, Malaysia - Health Clinic Maran Pahang
  • ARCCRU Faculty of Architecture Chulalongkorn University, Thailand - Pine and Grass Mix-used Building Bangkok
  • Aidea, Filipina - Clark City Athletics Stadium and Aquatica Centre
  • Becamex IDC Corp, Vietnam - WTC Expo
  • Surbana Jurong, Singapura - The SJ Campus

 

Anugerah ini merupakan pertandingan tahunan yang dianjurkan oleh Autodesk bagi mengiktiraf kepakaran para pemain industri dan organisasi yang mengoptimumkan penggunaan Building Information Modelling (BIM) sebagai teknologi inovatif dalam transformasi pendigitalan keseluruhan pelaksanaan projek.

Model BIM Klinik Kesihatan Jenis 5 Maran ini telah dibangunkan oleh Unit BIM Cawangan Perancangan Aset Bersepadu (CPAB) sebagai projek rintis berpandukan reka bentuk yang dihasilkan oleh Cawangan Sektor Pakar. Model ini juga dijadikan sampel kajian integrasi BIM - Kejuruteraan Nilai, Pengurusan Aset dan Penarafan Hijau melalui kerjasama dengan Unit Pengurusan Nilai dan Bahagian Perundingan Pengurusan Aset, CPAB serta Cawangan Alam Sekitar dan Kecekapan Tenaga.

Walaupun tidak memenangi anugerah di peringkat ASEAN, namun kejayaan di peringkat kebangsaan telah membuktikan JKR sebagai peneraju utama dalam pendigitalan pengurusan aset menyeluruh melalui adaptasi BIM di Malaysia. Diharapkan agar kejayaan ini dapat mencetus semangat kerja berpasukan di kalangan warga JKR di setiap peringkat agar lebih berdaya saing dalam memacu penggunaan teknologi 4IR khususnya BIM sebagai usaha meningkatkan kadar produktiviti dan tahap keberkesanan sistem penyampaian projek.