Date: Rabu, Disember 20, 2023

Jabatan Kerja Raya Negeri Pahang telah berjaya merangkul Pingat Emas bagi Anugerah Pentadbiran Cemerlang (APEC) bagi kategori Jabatan Negeri sempena majlis Anugerah Pahang 1st (APF) 2023 yang telah diadakan di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan pada 14 Disember yang lepas.

Selain trofi dan sijil, JKR Pahang turut membawa pulang wang tunai berjumlah RM7,000 yang disampaikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada majlis anjuran Kerajaan Negeri Pahang menerusi Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Pantai Timur dan Pahang Go.

Anugerah Pahang 1st yang bermula pada tahun lepas dilaksanakan sebagai pengiktirafan dan insentif kepada Jabatan Negeri, Agensi dan Badan Berkanun di Negeri Pahang melibatkan prestasi tadbir urus yang cemerlang.

Sebanyak 41 organisasi telah menyertai pencalonan Anugerah Pahang 1st pada tahun ini bagi kategori Anugerah Pentadbiran Cemerlang (APEC), Anugerah Produktiviti (AP) dan Anugerah Transformasi Digital (ADx) yang dinilai dari aspek kepimpinan dan prestasi melalui pelaksanaan strategi, maklumat, pelanggan, tenaga kerja dan proses yang efektif.

Tahniah diucapkan kepada semua warga Jabatan Kerja Raya Negeri Pahang yang diterajui oleh Pengarah Kerja Raya Negeri, Dato’ Ir. Ts. Hafizah Binti Zakaria atas segala usaha dan tenaga yang telah digembleng bagi menghasilkan kejayaan ini. Diharapkan dengan kejayaan yang diperoleh ini dapat terus membakar semangat semua warga kerja JKR Negeri Pahang untuk terus memberikan yang terbaik serta mengharumkan nama Jabatan.