Date: Selasa, November 12, 2024

KUALA LUMPUR, 11 November 2024 – Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya, telah merasmikan Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) dan penambahbaikan Sistem Pengurusan Bencana (eBencana) di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.

Majlis turut dihadiri oleh Yang Berhormat Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya ; YBhg. Datuk Wira Ir. Roslan bin Ismail, Ketua Pengarah Kerja Raya; YBhg. Dato' Zahrul Hakim bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan); Ir. Mohd Shahrom bin Ahmad Saman, Timbalan Ketua Pengarah (Infra) dan Ir. Hj. Zulkifli Bin Abdul Rashad, Timbalan Ketua Pengarah (Pakar). BiGBen dan sistem eBencana telah dinaik taraf sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memudahkan capaian maklumat kepada orang awam, sambil meningkatkan tahap kesiapsiagaan JKR dalam menghadapi bencana.

Peranan BiGBen dan Sistem Pengurusan Bencana (eBencana)

  1. Bilik Gerakan Bencana (BiGBen): BiGBen berfungsi sebagai One Stop Centre pengurusan maklumat kejadian bencana yang melibatkan aset seliaan JKR Malaysia di sepanjang Jalan Negeri dan Jalan Persekutuan. BiGBen juga merupakan medium penyampaian maklumat komprehensif kepada orang awam berkaitan maklumat kejadian bencana seperti banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak/runtuh. Selain itu, maklumat penutupan jalan serta informasi laluan alternatif turut dipaparkan untuk rujukan orang awam.
  2. Sistem Pengurusan Bencana (eBencana): eBencana merupakan sebuah platform bersepadu yang mengintegrasikan data di Laman Pengurusan Bencana (bencana.jkr.gov.my) dengan aplikasi pintar eBencana yang boleh diakses terus ke telefon bimbit. Ia memberikan kemudahan untuk pengguna menyemak status jalan raya dan lokasi yang terjejas, membantu merancang perjalanan dengan lebih selamat dan efisien.

Orang awam turut dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dan melaksanakan semakan laluan jalan raya yang selamat dilalui sebelum memulakan perjalanan menerusi:

  1. Laman Pengurusan Bencana JKR Malaysia: bencana.jkr.gov.my (link is external)
  2. Aplikasi eBencana JKR: Dapat dimuat turun melalui platform Google Play Store dan Apple App Store.
  3. Facebook BIGBEN: Ikuti halaman Facebook "BIGBEN – Bilik Gerakan Bencana JKR Malaysia (link is external)" untuk kemas kini terkini.
  4. Akaun X Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ): Di Twitter (X) melalui @CSFJ_JKR (link is external).

Dengan pengaktifan BiGBen dan aplikasi eBencana, orang awam dapat memperoleh maklumat yang lebih tepat dan cepat, sekali gus membantu meningkatkan keselamatan dan kelancaran perjalanan, terutamanya semasa musim Monsun Timur Laut.

Montaj Aplikasi eBencana (link is external)

#IamJKR  #KitaJKR  #JKRsynergy 
#JasaKepadaRakyat