Date: Jumaat, Jun 16, 2023

YBhg. Dato’ Ir. Hj. Zulkipli Bin Hj. Nasri, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya TKPKR (Sektor Infra) telah dijemput untuk menjadi salah seorang panel di dalam slot Bicara Madani bagi Konvensyen Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat pada 16 Jun 2023 (Jumaat). Konvensyen bertemakan “Pembangunan MADANI, Rakyat Disantuni” yang berlangsung selama dua (2) hari (16 Jun hingga 17 Jun 2023) ini dianjurkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM). Konvensyen ini menghimpunkan pegawai-pegawai kanan dari pelbagai Kementerian, Jabatan serta Agensi di peringkat negeri dan daerah untuk bertukar pandangan dalam merangka inisiatif baharu pembangunan negara.

Selain Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), slot Bicara Madani 2: Sinergi Memacu Pembangunan Negara turut dihadiri oleh dua (2) orang panel jemputan iaitu YBhg. Dato' Johary bin Anuar, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor dan YBrs. Puan Wan Fazlin Nadia binti Wan Osman, Pengarah dari Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC). Manakala YBhg. Dato’ Azman bin Ibrahim, Pengarah Pembangunan Negeri Pulau Pinang telah bertindak selaku moderator.

YBhg. Dato’ Ir. Hj. Zulkipli Bin Hj. Nasri telah menyampaikan pandangan dan idea melalui pembentangannya yang bertajuk “Sinergi JKR dan Kerajaan Negeri”. Antara kupasan intipati tajuk ini adalah berkenaan kepentingan kerjasama erat di antara JKR dan rakan strategik seperti Agensi Pusat serta Agensi Negeri.

Semasa pembentangannya, YBhg. Dato’ TKPKR (Sektor Infra) telah mengutarakan beberapa perkara yang boleh diambil perhatian secara bersama di antara JKR dan rakan strategik agar kerjasama erat dapat diteruskan. Perkara-perkara tersebut adalah:

  1. Pemberian Lanjutan Masa (Extension of Time, EOT) kepada projek (Pengambilan Balik Tanah & Kebenaran Merancang)
  2. Kesesuaian pemilihan tapak projek
  3. Pematuhan kepada keperluan khusus Agensi Negeri / Pihak Berkuasa Tempatan
  4. Penguatkuasaan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) terkini (Pindaan 2021)
  5. Inisiatif Value At Entry (VAE) ; dan
  6. Pemakaian Garis Panduan Utiliti Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12)

Menutupi pembentangan beliau, YBhg. Dato’ TKPKR (Sektor Infra) juga turut menyatakan bahawa kerjasama erat yang berterusan sesama rakan strategik amat diperlukan sebagai pemudahcara terhadap pelaksanaan projek-projek kerajaan kendalian JKR, seterusnya memberi manfaat dan kebaikan kepada rakyat.