Date: Khamis, March 17, 2022

Kuarters Klinik Kesihatan Bayu Damai yang terletak di Pengerang, Kota Tinggi, Johor kini sudah boleh diduduki selepas projek pembinaan siap sepenuhnya pada 2 Januari 2022 yang lalu dan telah diserahkan kepada pihak pelanggan.
 
Kuarters kediaman ini pastinya bagi mengisi keperluan penempatan kakitangan Klinik Kesihatan Bayu Damai yang mana melibatkan satu (1) blok empat (4) tingkat terdiri daripada enam belas (16) unit kediaman kelas G, satu (1) blok rumah pam, satu (1) blok rumah sampah dan pondok pengawal.
 
Projek pembinaan kuarters ini hanya mengambil masa hampir satu (1) tahun sebelas (11) bulan untuk disiapkan berdasarkan lukisan Pre-Approved Plan (PAP) yang menelan belanja keseluruhan bernilai lebih RM7.23juta dengan penjimatan sebanyak RM125 ribu ringgit.
 
Dengan keperluan yang semakin tinggi terutama pada sektor kesihatan, Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana nyata telah memberi sepenuh komitmen dalam penyiapan projek agar dapat memberi kemudahan dan digunakan oleh pihak pelanggan
 
Satu majlis penyerahan telah diadakan pada 15 Mac 2022 bertempat di Kuarters Klinik Kesihatan Bayu Damai, Pengerang diantara JKR Johor dan pihak pelanggan. Upacara penyerahan telah disempurnakan oleh Pengarah Kerja Raya Johor, Ir. Abu Bakar bin Abd. Aziz mewakili JKR kepada Timbalan Setiausaha Bahagian (Cawangan Pengurusan Projek 2) Bahagian Pembangunan, Kementerian Kesihatan Malaysia, En. Logarajah a/l G. Subramaniam bagi pihak wakil pelanggan.
 
Majlis ini turut dihadiri oleh Pengarah Kesihatan Negeri Johor, YB. Dato’ Dr. Aman bin Rabu, Jurutera Daerah JKR Kota Tinggi, Ir. Ts. Mazman Bin Mohamad selaku Pegawai Penguasa Projek, Timbalan-Timbalan Pengarah dan Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta kontraktor yang terlibat dalam pelaksanaan projek ini.
 
Turut diadakan sesi menandatangani Dokumen Serahan Projek diantara Jurutera Daerah Kota Tinggi, Ir. Ts. Mazman Bin Mohamad selaku Pegawai Penguasa dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, YB Dato’ Dr. Aman bin Rabu serta disaksikan oleh Pengarah Kerja Raya Negeri Johor, YBrs. Ir. Abu Bakar bin Abd Aziz dan Timbalan Setiausaha Bahagian (Cawangan Pengurusan Projek 2) Bahagian Pembangunan, Kementerian Kesihatan Malaysia, En. Logarajah a/l G. Subramaniam.
 
Ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Jurutera Daerah Kota Tinggi selaku Pegawai Penguasa projek yang mencapai KPI penyiapan projek secara 3 dalam 1 iaitu projek siap dengan CPC, lukisan terbina (as built drawing) dan Statement of Final Account (SOFA).
 
Juga ucapan tahniah kepada pasukan projek, pihak HOPT dan HODT, pihak kontraktor utama FB Technique Sdn. Bhd., Kontraktor NSC Elektrik, Sinar Tenaga Sdn. Bhd., serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi memastikan perjalanan projek ini siap pada waktu yang ditetapkan dan berjaya diserahkan kepada pihak pelanggan.
 
Jabatan Kerja Raya Johor
Copyright @ Media JKR Johor
15 Mac 2022