12 Disember 2023 - Cawangan Perancangan Aset Bersepadu (CPAB) telah menerima kunjungan delegasi Persatuan Juruukur Tanah Bertauliah Malaysia (PEJUTA) yang diketuai oleh Naib Presiden PEJUTA, Sr Siew Siew Weng merangkap Pengerusi Jawatankuasa Strata 3D Laser Scanning dan BIM. Pihak CPAB yang diwakili oleh Ir. Ahmad Ridzuan Bin Abu Bakar, Ketua Unit Building Information Modelling (BIM) mengetuai sambutan kunjungan ini dan meluangkan masa untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam pelaksanaan BIM di JKR.
Lawatan ini merupakan salah satu inisiatif PEJUTA untuk mendalami peranan dan kepentingan Building Information Modelling (BIM) dalam usaha meningkatkan kecekapan, kualiti, dan kelestarian projek-projek khususnya dalam bidang ukur tanah dan bangunan.
Program ini dimulakan dengan kata aluan oleh Ketua Unit BIM, CPAB dan disusuli dengan ucapan balas Naib Presiden PEJUTA, Sr Siew Siew Weng yang menjelaskan hasrat dan tujuan lawatan. PEJUTA memaklumkan bahawa bidang kerja ukur tanah di Malaysia telah memasuki era pendigitalan 3D dan bersedia untuk berkolaborasi dengan JKR atau mana-mana pihak bagi membangunkan piawaian BIM-GIS dalam penghasilan lukisan ukur, pemetaan utiliti dan pengurusan strata.
Taklimat diteruskan dengan pembentangan pelaksanaan projek BIM di JKR termasuk adaptasi 3D Scan-BIM dalam kerja penyediaan lukisan terukur yang disampaikan oleh Ir. Ts. Mohd Faiz bin Shapiai, Pakar Rujuk Jabatan (SME BIM). Seterusnya, Ts. Zainariah binti Zainal Abidin telah membentangkan hala tuju pendigitalan pelan ukur dan diakhiri dengan sesi perbincangan di antara kedua-dua pihak. Melalui perbincangan tersebut, empat (4) bidang utama yang berpotensi telah dikenalpasti untuk diberikan tumpuan dalam kerjasama strategik iaitu:
a) Menyedia dan menambahbaik keperluan BIM dalam terma rujukan kerja ukur tanah, bangunan dan pemetaan utiliti;
b) Menghasilkan piawaian BIM bagi pengurusan dan penilaian strata;
c) Membangunkan program kompetensi BIM Juruukur; dan
d) Mengkaji integrasi data spatial GIS dan BIM
Sebagai tanda penghargaan dan kerjasama, program diteruskan dengan sesi penyerahan dan pertukaran cenderahati oleh kedua-dua pihak serta sesi bergambar.
Diharapkan pendedahan dan perkongsian ilmu ini dapat memberi manfaat kepada pihak PEJUTA dan JKR bagi mewujudkan kerjasama strategik dalam aspek perkongsian ilmu adaptasi teknologi pembinaan terkini, dan seterusnya mampu menyokong inisiatif pendigitalan pengurusan projek dan fasiliti dalam Dasar Pembinaan Negara 2030.
- 794 bacaan