Date: Isnin, Ogos 15, 2022

Kunjungan hormat delegasi dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang diketuai oleh YH Prof. Dato' Ts. Dr. Yuserrie bin Zainuddin, Naib Canselor UMP berserta pegawai-pegawai daripada UMP telah diadakan pada 15 Ogos 2022 (Isnin).

Majlis dimulakan dengan mengunjungi Pejabat Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, di Aras 33, Menara Kerja Raya dengan disambut oleh Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Seri’ Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman serta Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Sektor Infra, YBhg. Dato’ Ir. Ahmad Redza bin Ghulam Rasool. Turut menghadiri Pengarah Kanan Cawangan Perancangan Aset Bersepadu (CPAB), YBrs. Ir. Haji Zulkipli bin Haji Nasri, Pengarah Cawangan Perancangan Aset Bersepadu (CPAB), YBrs. Ir. Mohamad Darus bin Selamat serta Pengarah Cawangan Kejuruteraan Geoteknik, YBrs. Encik Suhaimi bin Jamaludin.

Majlis diteruskan dengan sesi menandatangan buku pelawat dan pemberian cenderahati sebelum diteruskan dengan sesi perbincangan bersama yang diadakan di Bilik Mesyuarat Berlian.

Sesi kunjungan ini adalah di atas pelantikan YBhg. Dato’ Seri Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman sebagai CEO@Faculty bagi tempoh dua tahun mulai 01 Februari 2022 hingga 31 Januari 2024 dan dipadankan bersama Universiti Malaysia Pahang.

Sehubungan dengan itu, sesi kunjungan ini bertujuan bagi menetapkan dan membincangkan hala tuju bagi pelaksanaan setiap aktiviti yang telah dirancang di dalam Program CEO@Faculty serta diharapkan agar JKR dan UMP dapat menjalinkan lebih banyak usaha sama, kolaborasi penyelidikan,  inovasi, pemerkasaan kompetensi dan perkongsian ilmu kepakaran dimana ianya dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

Secara keseluruhannya, kunjungan ini telah mencapai matlamat yang ditetapkan dan diharap kerjasama sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang. Sekalung penghargaan diucapkan kepada YH Prof. Dato' Ts. Dr. Yuserrie bin Zainuddin atas kesudian berkunjung ke Pejabat Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia.