31 Julai 2024 - Cawangan Perancangan Aset Bersepadu (CPAB) telah menerima kunjungan delegasi Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak yang diketuai oleh Yang Berusaha Ir. Ts. Gs. Br. Dr. Cassidy Anak Morris, Pengarah JKR Sarawak. Pihak CPAB yang diwakili oleh Ir. Atikah binti Zakaria @ Ya, Pengarah Bahagian Pengurusan Projek Kompleks (BPPK) yang Menjalankan Tugas Pengarah Kanan CPAB mengetuai sambutan kunjungan ini dan meluangkan masa untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam pelaksanaan BIM di JKR. Turut hadir bersama Ts. Muhammad Khairi bin Sulaiman selaku Pengarah Bahagian Kepakaran BIM, Cawangan Arkitek.
Lawatan ini merupakan salah satu inisiatif JKR Sarawak untuk mendapatkan pendedahan tentang strategi pembangunan dan pelaksanaan BIM di JKR Malaysia meliputi proses pembangunan, cabaran-cabaran, isu-isu serta impak semasa dan selepas pelaksanaan projek. Selain itu, program seperti ini juga dilihat mampu mewujudkan kerjasama strategik di antara JKR Malaysia dan JKR Sarawak.
Program dimulakan dengan kata aluan oleh Pengarah BPPK dan disusuli dengan ucapan balas Pengarah JKR Sarawak yang menerangkan hasrat dan tujuan lawatan. Taklimat diteruskan dengan pembentangan pengenalan dan pembangunan BIM di JKR serta keperluan kontrak dalam pelaksanaan projek secara BIM yang disampaikan oleh Ir. Ts. Mohd Faiz bin Shapiai, Pakar Rujuk Jabatan (SME BIM).
Program sesi petang diteruskan dengan demonstrasi penggunaan perisian BIM dalam proses reka bentuk mengikut disiplin seperti berikut:
Bil. | Disiplin | Penceramah |
1 | Sivil | Khairudin bin Abu Kasim |
2 | Arkitek | Ruzaireen binti Kamaruzaman |
3 | Struktur | Nur Hafizah binti Abu Harith |
4 | Mekanikal | Nor Fadzlina binti Amari |
5 | Elektrik | Nahziatul Shima binti Ismail |
6 | Koordinasi | Ts. Zainariah binti Zainal Abidin |
7 | Ukur Bahan | Suwaibah binti Besah @Sitam |
Sebagai tanda penghargaan dan kerjasama, program diteruskan dengan sesi bergambar serta pertukaran cenderahati oleh kedua-dua pihak.
Diharapkan agar program ini dapat memberi gambaran yang lebih jelas berkaitan pelaksanaan BIM di JKR meliputi proses pembangunan, cabaran, isu serta impak semasa dan selepas pelaksanaan projek serta dapat mewujudkan kerjasama strategik antara JKR Sarawak dan Unit BIM JKR. Melalui kerjasama strategik ini, diharapkan lebih banyak perkongsian ilmu dan teknologi dapat dipelajari demi kelestarian pengurusan aset menyeluruh di Malaysia.
- 866 bacaan