Date: Isnin, Mei 13, 2024
Pada 9 Mei 2024 (Khamis) telah berlangsung satu Kunjungan Hormat Delegasi Tertinggi Ibu Kota Nusantara Republik Indonesia seramai 22 orang yang diketuai oleh Dr. Robby Kurniawan, Ketua Pengarah Kementerian Perhubungan Badan Kebijakan Transportasi, Republik Indonesia ke JKR Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Kunjungan delegasi disambut oleh YBrs. Lt. Kol. Bersekutu (PA) Tuan Ir. Haji Abdul Rani bin Harun yang menjalankan tugas Pengarah Cawangan Dasar Dan Pengurusan Korporat mewakili Ketua Pengarah Kerja Raya dan YBrs. Encik Robert anak Albert Girik yang menjalankan tugas Pengarah JKR Wilayah Persekutuan Putrajaya. Turut hadir ialah YBrs. Puan Noorul Hidaayah binti Mohamad Nasir daripada Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri dan pihak Putrajaya Bina Sdn. Bhd.
Majlis dimulakan dengan sesi menandatangani buku pelawat dan diteruskan dengan sesi taklimat di Bilik Persidangan Ziyad Ibn-Abih, Aras 8, JKR Wilayah Persekutuan Putrajaya kepada delegasi mengenai pengurusan fasiliti bangunan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Kompleks F, Wilayah Persekutuan Putrajaya. Acara majlis diteruskan dengan sesi soal jawab dan diikuti oleh sesi bergambar bersama semua ahli rombongan.
Kunjungan delegasi dari Republik Indonesia ini bertujuan untuk memudahkan perkongsian pengetahuan dan pengalaman serta memupuk kerjasama antara Pembuat Dasar Republik Indonesia dengan pihak berkepentingan utama di Wilayah Persekutuan Putrajaya termasuk JKR Malaysia. Sesi dialog dua hala kedua-dua belah pihak tenyata memberi inspirasi kepada kedua-dua belah pihak untuk berkongsi pengalaman bersama khususnya melibatkan pembangunan di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Malaysia sebagai sumber rujukan kepada pembangunan baru Nusantara di Kalimantan Timur, Indonesia.
Secara keseluruhannya, kunjungan ini telah mencapai matlamat yang ditetapkan. Sekalung penghargaan diucapkan kepada Dr. Robby Kurniawan serta delegasi dari Republik Indonesia atas kesudian mengunjungi JKR Wilayah Persekutuan Putrajaya. Semoga dengan terlaksananya kunjungan ini, kerjasama antara kedua-dua pihak akan berterusan pada masa akan datang.
- 1019 bacaan