Date: Khamis, March 9, 2023

Pada 1 Mac 2023 (Rabu) telah berlangsung satu kunjungan hormat dari Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia ke Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) bertempat di Ibu Pejabat MYSA, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur. Kunjungan ini telah diketuai oleh YBhg. Dato' Ir. Hj. Masri Bin Baharuddin, Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (CDPK), turut serta Encik Mohamad Sabri bin Saleh Ketua Bahagian Teknologi Maklumat (BTM) selaku penyelaras kunjungan ini.

Selain itu, wakil daripada Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ), Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) dan Cawangan Kejuruteraan Geoteknik (CKG) yang merupakan pengguna Georaphic Information System (GIS) turut terlibat dalam kunjungan ini. Tujuan kunjungan hormat ini adalah seperti berikut:  

  1. Berkongsi maklumat dan pengetahuan teknologi GIS yang digunapakai dan dioperasikan oleh pihak MYSA di peringkat dalaman atau yang melibatkan pihak luar terutamanya agensi Kerajaan atau swasta yang berkaitan;
  2. Mengenalpasti kesesuaian dan keperluan penggunaan sistem dan teknologi yang digunapakai oleh pihak  MYSA untuk di aplikasikan pada JKR Malaysia; dan
  3. Meneroka ruang kerjasama di antara pihak MYSA dan JKR bagi penggunaan GIS di dalam bidang Kejuruteraan

Kunjungan hormat telah dimulakan dengan dengan sesi menandatangan buku pelawat dan seterusnya ke sesi taklimat yang telah disampaikan oleh Yang Berusaha Ketua Pengarah MYSA Agensi Angkasa Malaysia Tuan GS. Haji Azlikamil Bin Napiah. Antara kandungan pembentangan yang telah disampaikan adalah berkenaan latar belakang, objektif dan fungsi MYSA di dalam pengurusan data geospatial, remote sensing dan aplikasi berteraskan teknologi angkasa.

Sesi kunjugan hormat kemudian diteruskan dengan sesi lawatan ke pejabat MYSA. Sepanjang sesi lawatan ini berlangsung, pihak MYSA telah memberi penerangan kepada deligasi JKR berkenaan kaedah pengoperasian yang dilaksanakan selain data-data dan maklumat yang telah dihasilkan.

 Secara keseluruhannya, kunjungan ini telah mencapai matlamat yang ditetapkan dan diharap kerjasama sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang dan seterusnya cadangan mengadakan nota Kerjasama antara JKR dan MYSA dapat dilaksanakan.

Sekalung penghargaan diucapkan dan terima kasih kepada Tuan GS. Haji Azlikamil Bin Napiah, Ketua Pengarah MYSA dan pihak pengurusan MYSA di atas kesudian menerima kunjungan hormat deligasi Ibu Pejabat Pejabat JKR Malaysia.