Date: Isnin, Februari 17, 2020

KUNJUNGAN HORMAT JKR MALAYSIA KE JKR SARAWAK

Pada 13 Februari 2020, satu kunjungan hormat JKR Malaysia ke JKR Sarawak yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia (Sektor Bangunan) telah diadakan.  Sesi kunjungan hormat ini telah disambut oleh Pengarah JKR Sarawak Yang Berbahagia Datu Ir. Haji Zuraimi Bin Haji Sabki.

Tujuan kunjungan hormat ini adalah untuk membincangkan strategi kerjasama dalam pelaksanaan projek antara JKR Malaysia dengan JKR Sarawak di bawah  Pelan Pelaksanaan Projek Pembangunan Di Bawah Rolling Plan 4 Rancangan Malaysia Ke 11 (RMKe-11) Tahun 2020.

Kunjungan hormat ini telah dimulakan dengan pembentangan dari JKR Sarawak berkaitan organisasi JKR Sarawak dan diikuti dengan proses perancangan dan sistem pemantauan pelaksanaan projek di JKR Sarawak.

Majlis kemudian diteruskan dengan pembentangan JKR Malaysia dengan maklumat-maklumat projek persekutuan yang dilaksanakan oleh JKR Sarawak dan Amalan Terbaik yang digunapakai oleh JKR Malaysia.

Seterusnya, perbincangan dua hala telah diadakan berkaitan dengan strategi pelaksanaan projek persekutuan (pembangunan dan senggaraan) yang telah dan akan diserahkan kepada JKR Sarawak. Beberapa persetujuan telah dicapai untuk memastikan projek berkenaan dapat dilaksanakan dengan jayanya oleh JKR Sarawak.

Secara keseluruhannya, kunjungan ini telah mencapai matlamat yang ditetapkan dan diharap kerjasama sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang. Sekalung penghargaan diucapkan kepada Pengarah JKR Sarawak Yang Berbahagia Datu Ir. Haji Zuraimi Bin Haji Sabki atas kesudian menyempurnakan sesi kunjungan hormat Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia (Sektor Bangunan) ke JKR Sarawak.

Pada sesi petang, program diteruskan dengan lawatan teknikal ke Hospital Umum Sarawak bersama Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia (Sektor Bangunan) bagi tujuan meninjau kemajuan pelaksanaan projek.