Date: Rabu, Januari 19, 2022

Pada 13 Januari 2022, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, YBhg. Datuk Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), YBhg. Dato’ Ramlan bin Harun dan turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPLB, YBhg. Dato’ Hajah Norison binti Ramli. Delegasi Jabatan Kerja Raya (JKR) terdiri daripada Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), Pengarah Kanan Cawangan Perancangan Aset Bersepadu, Pengarah Kanan Cawangan Jalan, Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat, Pengarah Cawangan Kerja Bangunan Am 2 dan Pengarah Bahagian Rekabentuk 2 Cawangan Arkitek.

Sesi libat urus tersebut bertujuan untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan pelaksanaan projek-projek di bawah KPLB dan merancang strategi untuk melancarkan pelaksanaan projek Rolling Plan 2, RMK - 12. Usai perbincangan tersebut, turut diadakan sesi interaksi pengurusan atasan JKR bersama pegawai Kader di KPLB. Datuk KPKR merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pegawai-pegawai Kader di Kementerian/ Jabatan yang telah mengharumkan nama JKR dan secara tidak langsungnya memperjelaskan bahawa peranan JKR sebagai penasihat teknikal adalah signifasi. Datuk KPKR juga menyatakan pegawai - pegawai kader merupakan duta atau wakil JKR di Kementerian/ Jabatan.  Seusainya perutusan daripada Datuk KPKR, sesi ini diteruskan bersama dengan Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), YBhg. Dato' Ir. Ahmad Redza bin Ghulam Rasool​. Antara intipati perbincangan adalah hal ehwal serta permasalahan yang wujud di kalangan pegawai-pegawai Kader, selain berkongsi idea dan pendapat.

 Secara keseluruhannya, program pada hari ini telah mencapai matlamat yang diingini. Sekalung penghargaan diucapkan kepada YBhg. Dato’ Ramlan bin Harun atas kesudian menerima kunjungan dari delegasi JKR Malaysia. Terima kasih juga diucapkan kepada YBrs. Ir. Roslan bin Mat Sapri atas penyediaan untuk sesi interaksi pengurusan atasan JKR bersama pegawai Kader.