Date: Jumaat, Julai 15, 2016
Delegasi JKR yang dipimpin oleh YBhg. Dato’ Ir. Dr. Roslan bin Md Taha, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Infra) dan disertai oleh YBhg. Dato. Ir. Hj. Mohd Jamal bin Sulaiman (Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat), YBrs.  Ar. Annuar bin Ngah (Pengarah Cawangan Kerja Kesihatan), Encik Mohd Asri bin Md Isa serta Ir. Raja Fairol Farouk bin Raja Abd Assiss telah mengadakan Kunjung Hormat ke Pejabat Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia  (SPA) pada 29 Jun 2016 yang lalu. 
 
Kunjungan Hormat ini telah disambut sendiri oleh YBhg. Tan Sri Arpah binti Abdul Razak selaku Pengerusi SPA bersama-sama YBhg. Dato' Zainal Abidin bin Ahmad (Setiausaha SPA), Puan Salmah binti Idris (Timbalan Setiausaha (Perkhidmatan) dan Encik Anuar bin Othman (Setiausaha Bahagian Naik Pangkat & Tatatertib).
 
Selain daripada membina jalinan kerjasama yang erat dengan pihak SPA, tujuan utama kunjungan hormat ini adalah untuk menyampaikan hasrat dan keprihatinan Pengurusan Atasan JKR terhadap isu-isu perjawatan dan urusan tindakan tatatertib terhadap pegawai-pegawai JKR. 
 
Antara isu perjawatan yang diketengahkan adalah berkenaan pengisian jawatan lantikan baru, harapan untuk pegawai Contract for Service (CFS) dipertimbangkan untuk diserap secara tetap serta kemungkinan ‘conversion’ CFS kepada Contract of Service (COS) dapat dikaji serta dipertimbangkan.
 
Bagi isu urusan tindakan tatatertib, perbincangan menjurus kepada penerangan prosedur urusan tindakan tatatertib oleh pihak SPA dan beberapa panduan dan nasihat telah diberikan dalam menguruskan perkara ini. Manakala pihak JKR pula berpeluang untuk berkongsi maklumat berkenaan kaedah-kaedah pelaksanaan projek dan kekangan-kekangan yang dihadapi seterusnya menzahirkan keresahan terhadap peningkatan urusan tindakan tatatertib terhadap pegawai-pegawai yang terlibat di dalam pengurusan projek.
 
Kesimpulannya, kunjungan hormat ini telah memberikan manfaat dan maklumbalas yang baik kepada delegasi JKR dalam memahami isu-isu yang telah diperbincangkan. Pihak JKR berterima kasih di atas kesudian dan kerjasama pihak YBhg. Tan Sri Pengerusi SPA serta semua pihak yang menjayakan kunjungan hormat ini.