Date: Selasa, Oktober 25, 2016

Pada 24hb Oktober 2016 jam 3.00 petang, Dato' Sri KPKR bersama rombongan 10 orang pegawai JKR dan KKR telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat SPRM di Tingkat 7, Blok D6, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.

Rombongan JKR telah disambut mesra oleh pegawai-pegawai SPRM. Seterusnya satu perbincangan tertutup telah diadakan dengan dipengerusikan oleh Dato Dzulkifli Ahmad, Ketua Pesuruhjaya SPRM. YBhg Dato mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Dato Sri KPKR kerana kunjungan ini dan menganggapnya satu langkah yang amat baik untuk meningkatkan kerjasama kedua-dua agensi dalam memertabatkan integriti di dalam perkhidmatan.

YBhg Dato telah menyatakan bahawa visinya adalah supaya menjelang Tahun 2020, Perkhidmatan Awam akan bebas dari gejala salahguna kuasa dan rasuah. Beliau akan memfokus di antara lainnya kepada proses 'procurement' bagi memastikan tiada ketirisan berlaku dalam bajet kerajaan untuk rakyat.

Di dalam perjumpaan hampir 2jam tersebut YBhg Dato banyak bercakap dari hati ke hati kerana merasa selesa dengan JKR yang memiliki fikrah yang bersamaan, mencurahkan halatuju dan impiannya, halangan dan cabaran yang terpaksa diharunginya. Beliau menyatakan bahawa dengan tenaga kerja yang hanya 2,900 sahaja fokusnya adalah ke arah projek yang memberikan impak besar kepada pembudayaan integriti agar tindakan yang diambil dapat dirasai secara menyeluruh. Kakitangan awam adalah jentera kerajaan dan mesti mempamerkan integriti tinggi agar masyarakat kembali percayakan kerajaan.

Di dalam ucapan balas, Dato Sri KPKR mengucapkan terimakasih kerana kesudian SPRM menerima kunjungan JKR dan mengucapkan tahniah di atas perlantikan Dato' Dzulkifli menerajui SPRM. YBhg Dato Sri menyatakan bahawa JKR komited dalam usaha mengembalikan imej JKR yang agak tercalar masakini kepada zaman dahulu di mana JKR adalah agensi kesayangan rakyat.

Beliau seterusnya menerangkan tindakan-tindakan yang telah diambil termasuk memperkemaskan Prosedur Kerja (SOP), membudayakan audit, melatih pegawai-pegawai tertentu menjadi Pegawai Integriti Bertauliah untuk mengatasi masaalah integriti. Seterusnya beliau menerangkan tentang PTPI, Polisi Whistle Blowing dan Kod Etika JKR. Beliau sudahi dengan harapan agar kedua-dua agensi dapat merapatkan hubungan kerjsama mengatasi masaalah integriti.

Di akhir Majlis, YBhg Dato Sri KPKR telah menyampaikan dokumen PTPI, Whistle Blowing dan Kod Etika JKR kepada Dato Dzulkifli disamping cenderahati berbentuk lambang Menara Kerja Raya. Dato Dzulkifli membalasnya dengan cenderahati berbentuk ayat al-Quran perihal Amanah. Majlis disudahi dengan majlis bergambar beramai-ramai.