Date: Jumaat, Januari 31, 2025

Pada 26 Januari 2025, YBhg. Datuk Wira Ir. Roslan bin Ismail, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia telah mengadakan kunjungan hormat kepada Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). Turut diiringi bersama YBhg. Dato’ Ir. Ibrahim bin Esa, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan); YBhg. Dato’ Ir. Dr. Balamurugan A/L A Gopal, Pengarah Cawangan Kerja Pendidikan; YBhg. Dato’ Ir. Ts. Hafizah binti Zakaria, Pengarah JKR Negeri Pahang; pegawai-pegawai CKP serta pegawai-pegawai Pasukan Projek Persekutuan Negeri Pahang.

Kunjungan hormat ini disambut baik oleh YBrs. Prof. Dr. Yatimah binti Alias, Naib Canselor UMPSA; YBhg. Dato’ Saiful Bahri bin Ahmad Bakarim, Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi UMPSA dan YBrs. Ts.  Izwan bin Ismail, Pengarah Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta serta pegawai-pegawai UMPSA.

Tujuan kunjungan hormat ini diadakan sebagai wardah perbincangan dan bertukar pandangan berkenaan isu-isu berkenaan projek yang sedang dilaksanakan JKR di UMPSA. Selain itu, kunjungan hormat ini merupakan satu platform untuk mengeratkan jalinan dengan barisan kepimpinan tertinggi UMPSA.

Sesi perbincangan telah diadakan di Dewan Senat, Bangunan Canselori Tun Abdul Razak yang merupakan salah satu bangunan yang telah siap dibina oleh JKR Malaysia dan digunakan sepenuhnya oleh UMPSA dari tahun 2015. Antara perbincangannya adalah untuk mencapai kata sepakat antara kedua-dua pihak agensi disertakan dengan penyerahan cenderahati daripada kedua-dua pihak sebagai tanda penghargaan.

Sesi lawatan tapak dimulakan dengan projek dalam pembinaan iaitu UMP- Pembangunan Dewan Konvokesyen di Kampus Pekan, Pahang yang dilaksanakan secara Reka dan Bina oleh kontraktor Kamal Engineering Sdn. Bhd. Projek ini dijangka siap pada 15 Mac 2026 yang diselia oleh Pasukan Projek Persekutuan Negeri Pahang. Cawangan Kerja Pendidikan (CKP) bertindak sebagai Pengurus Program Projek.

Seterusnya, lawatan tapak diakhiri dengan ke Projek Pembinaan Pusat Islam dan Masjid UMPSA yang kini dalam tempoh Defect Liability Period (DLP). Projek ini dilaksanakan secara Konvensional Dalaman oleh pihak JKR di bawah CKP selaku Pengurus Program Projek dan peringkat pembinaan turut dipantau oleh Pasukan Projek Persekutuan Negeri Pahang.


#IamJKR #KitaJKR #JKRsynergy
#JasaKepadaRakyat