Date: Jumaat, Januari 27, 2017
Pada Rabu, 25 Januari 2017 satu sesi kunjungan hormat telah dilaksanakan oleh YBrs. Ir. Mohamad Zulkefly Bin Sulaiman, Pengarah Cawangan Dasar  dan Pengurusan Korporat Ibu Pejabat JKR Malaysia (CDPK) ke atas YBhg. Datuk Simi bin Abdul Ghani, Pengarah Bahagian Siasatan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.
 
Delegasi pihak JKR  turut disertai oleh Puan Norazian Binti Salleh (Ketua Bahagian Pengurusan Sumber Manusia CDPK), YBhg. Datin Noriah binti Abu Bakar (Jurutera Awam Kanan Bahagian Audit dan Integriti CDPK) dan Encik Mohd Asri bin Md Isa (Jurutera Awam Kanan BPSM CDPK). 
 
Sesi kunjungan hormat ini juga turut disertai oleh wakil daripada SPRM iaitu Puan Siti Norlinda binti Abu Bakar (Penguasa Kanan) dan Encik Afidi Mahyudin b. Hj. Julaihi Khan (Ketua Penolong Kanan Penguasa) daripada Bahagian Siasatan SPRM.
 
Selain daripada membina jalinan kerjasama yang erat dengan pihak SPRM, tujuan utama kunjungan hormat ini adalah untuk menyampaikan hasrat dan keprihatinan Pengurusan Atasan JKR terhadap isu-isu mutakhir yang melibatkan tindakan terhadap pegawai-pegawai JKR. 
 
Antara isu yang dibincangkan adalah berkenaan Standard Operating Procedure (SOP) tangkapan oleh pihak SPRM, tindakan yang perlu dilaksanakan oleh Ketua Jabatan, hak-hak pegawai/individu yang sedang disiasat atau telah ditangkap serta isu tapisan keutuhan bagi urusan pengurusan sumber manusia Jabatan.
 
Kesimpulannya, sesi kunjungan hormat ini telah memberikan manfaat dan maklumbalas yang baik kepada delegasi JKR dalam memahami isu-isu yang telah dibincangkan. YBhg Datuk Simi bin Abdul Ghani juga berpesan agar warga JKR sentiasa berwaspada agar tidak menjerumuskan diri ke dalam perbuatan tidak berintegriti serta menjauhi kesalahan rasuah. 
 
Pihak JKR berterima kasih di atas kesudian dan kerjasama pihak SPRM serta semua pihak yang menjayakan kunjungan hormat ini.