Date: Rabu, Ogos 1, 2018

Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui Cawangan Kejuruteraan Mekanikal (CKM) telah mengadakan Kunjungan Jalinan Mesra ke Suruhanjaya Tenaga (ST) yang bertempat di Presint 2, Putrajaya pada 31 Julai 2018.

Lawatan delegasi ini diketuai oleh YBrs. Ir. Gopal Narian Kutty, Pengarah Kanan CKM, diiringi oleh YBrs. Ir. Razdwan Bin Kasim, Pengarah Khidmat Pakar CKM dan disertai oleh beberapa pegawai kanan Cawangan Kejuruteraan Mekanikal (CKM). Delegasi JKR disambut mesra oleh YBhg. Ir. Abdul Rahim bin Ibrahim selaku Pengurus Bahagian Pengurusan Tenaga dan Pembangunan Kualiti Perkhidmatan, dan turut disertai oleh pegawai-pegawai ST.

Kunjungan mesra ini merupakan salah satu aktiviti JKR dalam usaha mengeratkan hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama antara kedua-dua organisasi serta membincangkan pelbagai topik berkaitan kecekapan tenaga dalam bangunan kerajaan.

Program ini disusuli dengan sesi perbincangan dan soal jawab berkenaan beberapa topik seperti pengambilan data untuk JKR Energy Online System (JENOSYS), intensiti tenaga dalam bangunan kerajaan, serta pembangunan Energy Performance Contract (EPC). Kedua-dua pihak juga berkongsi idea dan pandangan untuk memperluaskan kerjasama khususnya yang melibatkan perkongsian ilmu pengetahuan, pengalaman serta pembangunan modal insan dalam bidang pengurusan tenaga dalam bangunan.

Sesungguhnya program ini telah membuka laluan dalam mewujudkan kerjasama yang lebih erat di antara JKR dan ST pada masa hadapan bagi melestarikan penggunaan tenaga di dalam bangunan kerajaan, seterusnya mengurangkan impak pelepasan karbon negara.