Date: Jumaat, Januari 12, 2018

Cawangan Kejuruteraan Mekanikal (CKM), Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah mengadakan Kunjungan Jalinan Mesra ke Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) bertempat di Wisma TNB, Jalan Timur, Petaling Jaya, Selangor pada 12 Januari 2018. Lawatan delegasi seramai 10 orang ini diketuai oleh YBrs. Ir. Gopal Narian Kutty AMN, JMW, Pengarah Kanan CKM, diiringi oleh YBrs. Ir. Razdwan Bin Kasim, Pengarah Khidmat Pakar CKM, YBrs. Ir. Mamat Rohizan bin Abdullah, Pengarah Rekabentuk CKM, dan turut disertai oleh beberapa pegawai kanan CKM serta 2 orang wakil dari Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE). Delegasi JKR disambut oleh Tn. Haji  Ir. Rumaizi bin Hamid selaku Pengurus Besar TNB (Pengurusan Aset) dan turut disertai oleh pegawai-pegawai kanan TNB dari bahagian-bahagian berkaitan seperti pengurusan projek, polisi dan teknikal.

Kunjungan mesra ini merupakan salah satu aktiviti CKM dalam usaha mengeratkan hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama antara kedua-dua organisasi serta membincangkan pelbagai topik berkaitan skop mekanikal dan elektrikal bagi pelaksanaan projek-projek kerajaan. Selain itu, CKM telah menyampaikan taklimat ringkas berkenaan organisasi JKR, bisnes teras JKR, dan proses pelaksanaan projek di peringkat JKR Ibu Pejabat dan JKR Negeri.

Program ini disusuli dengan sesi perbincangan dan soal jawab berkenaan beberapa topik berkaitan sistem pencegah kebakaran di pencawang elektrik (substation) seperti skop kuasa/tanggungjawab antara Ibu Pejabat dan Negeri dan isu-isu berkaitan kontrak. Kedua-dua pihak juga berkongsi idea dan pandangan untuk memperluaskan kerjasama khususnya yang melibatkan perkongsian ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam sistem pencegah kebakaran serta pelaksanaan projek bangunan.

Sesungguhnya program ini telah membuka laluan dalam mewujudkan kerjasama yang lebih erat antara JKR dan TNB pada masa hadapan bagi menjayakan pelaksanaan projek-projek kerajaan sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.