Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui Cawangan Kejuruteraan Mekanikal (CKM) telah mengadakan Kunjungan Jalinan Mesra ke Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang bertempat di Presint 7, Putrajaya pada 11 Jun 2018.
Lawatan delegasi seramai lapan (8) orang ini diketuai oleh YBrs. Ir. Gopal Narian Kutty JMW, AMN, Pengarah Kanan CKM, diiringi oleh YBrs. Ir. Razdwan Bin Kasim, Pengarah Khidmat Pakar CKM, YBrs. Ir. Mamat Rohizan bin Abdullah, Pengarah Rekabentuk CKM, dan turut disertai oleh beberapa pegawai kanan CKM. Delegasi JKR disambut mesra oleh YBhg. Dato’ Hj. Zamri bin Che Din selaku Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba daripada Bahagian Keselamatan Kebakaran, dan turut disertai oleh pegawai-pegawai kanan Bomba daripada bahagian-bahagian berkaitan seperti pembangunan, kejuruteraan dan latihan.
Kunjungan mesra ini merupakan salah satu aktiviti JKR dalam usaha mengeratkan hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama antara kedua-dua organisasi serta membincangkan pelbagai topik berkaitan skop sistem pencegah kebakaran dalam pelaksanaan projek-projek kerajaan.
Program ini disusuli dengan sesi perbincangan dan soal jawab berkenaan beberapa topik berkaitan sistem pencegah kebakaran seperti skop kuasa / tanggungjawab antara Ibu Pejabat dan Negeri serta isu-isu berkaitan kontrak terutamanya berkaitan keperluan Certificate of Completion and Compliance (CCC), pengesahan Jurutera Bertauliah dalam pelan submission dan sebagainya. Kedua-dua pihak juga berkongsi idea dan pandangan untuk memperluaskan kerjasama khususnya yang melibatkan perkongsian ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam sistem pencegah kebakaran serta pelaksanaan projek bangunan.
Sesungguhnya program ini telah membuka laluan dalam mewujudkan kerjasama yang lebih erat antara JKR dan Bomba pada masa hadapan bagi menjayakan pelaksanaan projek-projek kerajaan sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
- 1877 bacaan