Date: Jumaat, Mei 4, 2018

Pada 3 Mei 2018 (Khamis), delegasi seramai 10 orang daripada Cawangan Kejuruteraan Mekanikal (CKM), Ibu Pejabat JKR yang diketuai oleh YBrs. Ir. Gopal Narian Kutty, Pengarah Kanan CKM, telah mengadakan kunjungan mesra ke Pejabat Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia di Putrajaya. Turut mengiringi Pengarah Kanan CKM ialah YBrs. Ir. Razdwan bin Kasim, Pengarah Khidmat Pakar CKM, YBrs. Ir. Mamat Rohizan bin Abdullah, Pengarah Rekabentuk CKM, dan beberapa pegawai kanan CKM.

Kunjungan ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan kerjasama dengan pihak JKKP dan bertukar pandangan dalam isu-isu berkaitan antara kedua-dua Jabatan. Majlis ini telah dipengerusikan oleh YBrs. Ir. Omar bin Mat Piah, Ketua Pengarah JKKP, yang turut disertai oleh YBrs. Ir. Zailee bin Dollah, Timbalan Ketua Pengarah (Keselamatan Pekerjaan), YBrs. En. Husdin Bin Che Mat, Pengarah JKKP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pegawai kanan Bahagian Keselamatan Industri JKKP dan pegawai kanan Bahagian Teknologi Maklumat.  

Ketua Pengarah JKKP sangat mengalu-alukan kedatangan CKM IPJKR dan berpandangan setiap jabatan kerajaan perlu menyokong dan bekerjasama antara satu sama lain demi kepentingan bersama. Beliau juga berharap JKR selaku agensi teknikal kerajaan yang terbesar agar sentiasa memberi penekanan terhadap pematuhan kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dalam setiap projek yang dilaksanakan. JKR wajar menjadi penanda aras dan contoh terbaik kepada semua pihak, khususnya dalam aspek keselamatan dan penyenggaraan jentera.

Kunjungan mesra ini telah membuahkan hasil yang positif, di mana JKKP secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan CKM untuk mengadakan Program Persijilan Jurutera Pakar Lif JKR yang melibatkan kolaborasi kedua-dua jabatan. Di samping itu, semua isu yang berkaitan telah berjaya diselesaikan secara konsesus.

Pada keseluruhannya, kunjungan ini telah mencapai matlamat yang ditetapkan dan kedua-dua jabatan bersetuju untuk meningkatkan lagi kerjasama sebegini secara berterusan. Sekalung penghargaan diucapkan kepada JKKP atas kesudian menerima kunjungan ini.


Ucapan aluan oleh YBrs. Ir. Omar bin Mat Piah Ketua Pengarah JKKP


Barisan Delegasi CKM


Barisan delegasi CKM bersama pengurusan tertinggi JKKP