Date: Jumaat, November 24, 2023

Cawangan Kejuruteraan Mekanikal (CKM), Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah mengadakan Kunjungan Mesra ke Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang bertempat di Presint 7, Putrajaya pada 22 November 2023. Lawatan delegasi seramai 8 orang ini diketuai oleh YBrs. Ir. Hj. Zulkifli bin Abdul Rashad, Pengarah Kanan CKM, diiringi oleh beberapa pegawai kanan CKM. Delegasi JKR disambut mesra oleh YS Tuan Othman bin Abdullah, Timbalan Pesuruhjaya Bomba (TPjB) selaku Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran (BKK) dan turut disertai oleh pegawai-pegawai kanan JBPM daripada bahagian-bahagian berkaitan seperti pembangunan, kejuruteraan dan latihan.

Kunjungan mesra ini merupakan salah satu aktiviti CKM dalam usaha mengeratkan hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama antara kedua-dua organisasi serta membincangkan pelbagai topik berkaitan skop sistem pencegah kebakaran dalam pelaksanaan projek-projek kerajaan.

Program ini disusuli dengan sesi perbincangan dan soal jawab berkenaan beberapa topik berkaitan sistem pencegah kebakaran seperti skop kuasa/tanggungjawab antara Ibu Pejabat dan Negeri serta isu-isu berkaitan kontrak terutamanya berkaitan keperluan Certificate of Completion and Compliance (CCC), pengesahan Jurutera Bertauliah dalam pelan submission dan sebagainya. Kedua-dua pihak juga berkongsi idea dan pandangan untuk memperluaskan kerjasama khususnya yang melibatkan perkongsian ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam sistem pencegah kebakaran serta pelaksanaan projek bangunan.

Sebagai tanda penghargaan dan kerjasama, program diteruskan dengan sesi penyerahan dan pertukaran cenderahati oleh kedua-dua pihak serta sesi bergambar.

Program ini telah membuka laluan dalam mewujudkan kerjasama yang lebih erat antara JKR dan JBPM pada masa hadapan bagi menjayakan pelaksanaan projek-projek kerajaan sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

ckm X bomba

ckm X bomba

ckm X bomba

ckm X bomba