Date: Selasa, Mei 11, 2021

Pada 7 Mei 2021, delegasi seramai 6 orang daripada Cawangan Kejuruteraan Mekanikal (CKM), Ibu Pejabat JKR yang diketuai oleh YBhg. Ir. Dato’ Hj. Habbali bin Ibrahim, Pengarah Kanan CKM, telah mengadakan kunjungan mesra ke Pejabat Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia di Putrajaya. Pengarah Kanan CKM turut diiringi oleh YBrs. Ir. Hj. Zulkifli bin Abdul Rashad, Pengarah Khidmat Pakar CKM, YBrs. Ir. Suhaili bin Mansor, Pengarah Rekabentuk CKM dan beberapa pegawai kanan CKM.

Kunjungan ini merupakan program tahunan CKM sejak 2016 yang bertujuan mengeratkan kerjasama dan membincangkan isu bilateral melibatkan kedua-dua Jabatan. Delegasi CKM telah disambut oleh YBrs. Ir. Zailee bin Dollah, Ketua Pengarah JKKP, YBrs. En. Mohd Anuar bin Embi, Timbalan Ketua Pengarah JKKP (Keselamatan Pekerjaan), En. Ahmad Nazri bin Ab Kader, Pengarah Bahagian Keselamatan Industri serta pegawai kanan JKKP.  

Ketua Pengarah JKKP mengalu-alukan kedatangan delegasi CKM Ibu Pejabat JKR. Beliau berpandangan perjumpaan ini penting dan perlu diadakan lebih kerap atau secara berkala pada masa akan datang. Beliau turut memaklumkan mengenai hala tuju dan pendekatan terkini oleh JKKP dalam bidang lif. Beliau menekankan mengenai perlunya semua pihak meliputi JKKP, Firma Yang Kompeten (FYK) dan pemunya memainkan peranan masing-masing dalam meningkatkan mutu perkhidmatan serta keberkesanan pelaksanaan, khususnya berkaitan penyelenggaran lif.

CKM memaklumkan JKR sentiasa menyokong usaha ke arah peningkatan dalam aspek Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (KKP). CKM juga mengambil kesempatan untuk menguar-uarkan mengenai inisiatif dan kejayaan yang telah dicapai oleh JKR dalam aspek tersebut. Antaranya Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (SPKKP), dokumentasi (garis panduan, panduan teknik, spesifikasi terknikal, modul latihan) dan kompetensi kakitangan (lift competent person, SHASSIC Assessor, OSHCIM competent person).

Selain itu, beberapa isu telah dibincangkan seperti:

1)         Isu berkaitan pelaksanaan projek lif oleh JKR; 

2)         Penyeragaman dari segi arahan dan standard yang dikuatkuasakan oleh JKKP;

3)         Kerjasama dalam bidang latihan, iaitu kompetensi penyelenggaraan lif untuk kakitangan jabatan kerajaaan;

4)         Pengwujudan kontrak dan spesifikasi yang piawai bagi penyelenggaraan lif untuk kegunaan semua jabatan kerajaan; dan

5)         Perkongsian maklumat antara JKR dan JKKP.

Pada keseluruhannya, kunjungan ini telah mencapai matlamat yang ditetapkan, di mana semua isu yang berkaitan telah berjaya diselesaikan secara konsesus.  Perbincangan lanjut akan diaturkan bagi membincangkan mengenai kerjasama yang telah dipersetujui. Sekalung penghargaan diucapkan kepada JKKP atas kesudian menerima kunjungan delegasi CKM ke  Pejabat Ketua Pengarah JKKP di Putrajaya.