Date: Khamis, March 3, 2022
1 Mac 2022 - YBhg. Datuk Ir. Haji Zulkefly Bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya, JKR Malaysia telah mengadakan kunjungan rasmi kepada YBhg. Prof Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Bin Ismail, Naib Canselor UTM bertempat di Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM, Skudai, Johor
 
Sesi kunjungan ini turut dianggotai oleh Ir. Badioezaman Bin Ab. Khalik (Pengarah Kanan CKAS), Ir. Noreha Binti Nordin (Pengarah Khidmat Pakar dan Pengurusan CKAS) dan Ir. Mohd Shaifuddin Bin Abdul Razak (Jurutera Awam Penguasa Kanan, Bahagian Perkhidmatan Forensik Struktur, CKAS).
 
Lawatan ini merupakan kesinambungan kepada kerjasama strategik di antara UTM dan JKR  dalam bidang kejuruteraan forensik yang telah dimeterai dalam Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 14 Oktober 2021.
 
Tujuan kunjungan rasmi ini adalah untuk membincangkan beberapa isu berkaitan bidang kejuruteraan awam, khususnya kejuruteraan forensik. Antara isu yang dibincangkan adalah inisiatif data raya (big data), pembangunan teknologi kecerdasan buatan (artificial intelligence) dalam bidang kejuruteraan forensik dan kejuruteraan awam, akses kepada kemudahan perpustakaan di UTM, perkongsian makmal di antara JKR dan UTM serta penempatan kakitangan UTM di JKR untuk berkongsi pengalaman dalam industri serta menggunapakai hasil kajian dalam kerja pembinaan dan pembaikan di JKR.
 
 Di samping itu, turut disentuh adalah kepentingan pembelajaran sepanjang hayat untuk pegawai JKR dan UTM yang menggabungkan elemen akademik dan industri.
 
Selain kunjungan hormat ini, KPKR dan pegawai kanan JKR turut mengadakan lawatan teknikal ke Makmal Kebakaran UTM Construction Research Centre (UTM-CRC). Makmal ini merupakan makmal kebakaran terbesar seumpamanya di Asia Tenggara dalam pengujian bahan sampel dengan kapasiti 1000 kN dan mampu mencapai suhu sehingga 1200°C.
 
Melalui sesi kunjungan hormat dan lawatan ini, UTM dan JKR bukan sahaja saling bertukar maklumat berkenaan keupayaan teknologi terkini serta fasiliti di kedua-dua institusi, tetapi turut mewujudkan sinergi yang akan memberikan sumbangan yang signifikan terhadap perkembangan industri yang berkaitan, selaras dengan keperluan negara.