Date: Selasa, March 21, 2023

Majlis Penutupan Kursus Sistem JKR E-Tender (JET) oleh YB Dato’ Seri Ir Haji Mohammad Nizar Bin Jamaluddin, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air & Pengangkutan Awam Negeri Perak Darul Ridzuan. Majlis turut dihadiri oleh Pengarah Kerja Raya Perak Darul Ridzuan, Ir Hamdan bin Ali dan wakil Cawangan Kontrak dan Ukur Bahan (CKUB), Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya Malaysia, Sr Mohammad Harith Bin Mohd Yunos.

Kursus ini merupakan kolaborasi pertama di antara Kelab Sukan Kerja Raya Ibu Pejabat, Ipoh sebagai penganjur utama dengan kerjasama Kelab Sukan dan Riadah Cawangan Kontrak Ukur Bahan, JKR Malaysia yang telah diadakan di Hotel Kinta Riverfront pada 15 Mac 2023. Kursus yang dijalankan selama 1.5 hari ini melibatkan seramai 195 orang peserta yang terdiri daripada Pejabat Berkuasa Tempatan, pihak perunding dan kontraktor dari seluruh Malaysia. Kursus yang dijalankan secara amali ini memberikan pendedahan dan tatacara perolehan secara hybrid kepada peserta.

Bermulanya pada tahun 2021, JKR telah menggunakan platform digital sebagai salah satu inisiatif JKR untuk memudahkan dan menambahbaik proses perolehan kerja. JKR telah menggunakan Sistem JET bagi proses perolehan jabatan bermula bagi projek-projek yang diiklankan bermula 1 Ogos 2022. Ini selaras dengan Surat Arahan Pelaksanaan Perolehan Menggunakan Sistem JET yang menggantikan pelaksanaan tender secara hybrid sedia ada dan akan digunakan secara menyeluruh (end to end) dalam talian. Sehubungan dengan itu JKR Perak dan CKUB telah mengambil inisiatif untuk mengadakan latihan secara amali kepada pihak industri.

Kursus ini disampaikan oleh 2 orang penceramah dan 15 orang fasilitator dan semuanya merupakan kakitangan daripada CKUB. Objektif kursus ini adalah memberi kefahaman yang jelas kepada peserta mengenai sistem pengurusan tender yang terkini oleh JKR melalui Sistem JKR E- Tender (JET). Para peserta kursus telah didedahkan dengan peraturan-peraturan perolehan melalui Sistem JET dan dilatih secara amali tatacara yang diperlukan bagi memastikan tawaran tender. Kursus ini dirangka khas untuk memberi pendedahan kepada pihak industri dan pihak kontraktor khususnya berkenaan dengan pelaksanaan Sistem JET dengan memfokuskan peningkatan set kemahiran digital dan memudah cara penggunaan sistem.

Kursus ini juga menawarkan 6 mata Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) daripada Lembaga Juruukur Bahan Malaysia dan 20 mata Program Pembangunan Kontraktor Berterusan (CCD) daripada CIDB.

Diharap dengan kursus ini dapat memberi kefahaman yang lebih jelas kepada para peserta mengenai sistem pengurusan tender yang terkini oleh JKR bagi projek konvensional dan prosedur yang terlibat melalui latihan secara langsung (hands-on).

YB Dato’ Seri Ir Haji Mohammad Nizar Bin Jamaluddin, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri Perak Darul Ridzuan juga berkesempatan menyampaikan sijil kepada wakil-wakil seperti berikut:

  i.          Penceramah

  • Sr Mohd Afiz Bin Mohd Kassim dari Cawangan Kontrak dan Ukur Bahan, IPJKR Malaysia
  • Encik Firdaus Bin Ab Rahman dari Cawangan Kontrak dan Ukur Bahan, IPJKR Malaysia

 ii.          Wakil Fasilitator

  • Puan Siti Saharah Binti Esa dari Cawangan Kontrak dan Ukurbahan, IPJKR Malaysia

 iii.          Wakil Peserta

  • Puan Norawati Binti Mat Isa dari syarikat Empayar Indera Sdn Bhd

 iv.          Wakil Peganjur

  • Sr Mohammad Harith Bin Mohd Yunos, Ahli Jawatankuasa Kelab Sukan Dan Riadah Cawangan Kontrak dan Ukur Bahan
  • Ts Farahazliza Hazie Binti Abu Hari, Setiausaha Kelab Sukan Dan Kebajikan JKR Perak Darul Ridzuan

Lawatan booth juga telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Ir Haji Mohammad Nizar Bin Jamaluddin, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri Perak Darul Ridzuan sebagai penutup program tersebut.