Bahagian Perundingan Pengurusan Aset (BPPA), CPAB mengambil inisiatif untuk mengadakan beberapa siri kursus-kursus dalam talian pada tahun 2024 dalam usaha untuk memperkasakan Pengurusan Aset dan Fasiliti di peringkat nasional. Kursus ini terbuka kepada Kementerian, Jabatan, dan Agensi Kerajaan yang terlibat di dalam pengurusan aset dan fasiliti.
Kursus Pengurusan Aset Tak Alih Kerajaan Siri 1 bertajuk "Pengenalan Tatacara Pengurusan Aset Tak Alih Kerajaan (TPATA) Aset Bangunan dan Aset Jalan," telah di adakan pada 12 September 2024 yang lalu. BPPA,CPAB meneruskan inisiatif ini dengan siri kedua yang bertajuk “Pengurusan Aset Menyeluruh.”
Kursus dalam talian siri kedua ini diadakan pada 5 November 2024 dan telah menarik penyertaan seramai 660 peserta yang terdiri daripada wakil Jabatan Kerja Raya, kementerian, jabatan, serta agensi kerajaan. Sambutan yang sangat menggalakkan ini mencerminkan kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan pengurusan aset secara menyeluruh dalam organisasi.".
Kursus ini terbahagi kepada empat subtopik dan telah disampaikan oleh pakar-pakar dalam bidang masing-masing seperti berikut:-
- Subtopik 1: "Pengurusan Aset Menyeluruh," oleh Ir. Ts. Dr. Mohamad Adzizulrohim bin Abd Malek
- Subtopik 2: "Pengurusan Ruang," oleh Pn. Norasna binti Omar
- Subtopik 3: "Penilaian Aset," oleh Ir. Ts. Salawati binti Sallan
- Subtopik 4: "PPUN," oleh Ir. Ts. Nurashikin binti Zainal Abidin
Moderator bagi siri kedua ini adalah Sr. Dr. Syamilah binti Yacob.
Kursus Pengurusan Aset Tak Alih Kerajaan bertajuk "Pengurusan Aset Menyeluruh" bertujuan untuk memberi kesedaran tentang Dasar Pengurusan Aset Kerajaan (DPAK) Versi 2.0 Tahun 2021 yang menggariskan hala tuju, prinsip dan strategi pelaksaanan pengurusan aset yang perlu dipatuhi oleh setiap agensi kerajaan.
Salah satu objektif DPAK adalah pengurusan aset perlu dilaksanakan secara sistematik, holistik dan lestari untuk mencapai faedah aset yang optimum berdasarkan Kitaran Hayat Aset (KHA). Pendekatan ini dinamakan Pengurusan Aset Menyeluruh. Hasilnya, Manual Pengurusan Aset Menyeluruh (MPAM) Kerajaan Versi 2.0 berdasarkan Pekelling Am Bilangan 2 Tahun 2021 dikeluarkan dalam usaha kerajaan untuk melaksanakan dasar tersebut.
BPPA, CPAB ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada peserta-peserta kursus di atas sambutan yang memberangsangkan terhadap kursus ini. Diharapkan kursus ini dapat memberikan bukan sahaja pengetahuan dan kemahiran yang berguna, tetapi juga dapat memberi manfaat kepada semua peserta yang terlibat.
#IamJKR #KitaJKR #JKRsynergy
#JasaKepadaRakyat
- 361 bacaan