Date: Jumaat, November 20, 2020

JKR Malaysia telah melakarkan satu kejayaan signifikan, apabila mendapat persetujuan daripada Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) berkenaan kertas pertimbangan untuk menambahbaik tatacara dan kaedah penilaian tender JKR. Kertas pertimbangan tersebut telah dibentangkan oleh Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato' Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman, diiringi oleh YBrs. Sr Dr. Muhammad Imran bin Zin Zawawi daripada Cawangan Kontrak dan Ukur Bahan.

Pengemukaan cadangan tersebut bertujuan untuk meningkatkan integriti maklumat yang digunakan dalam penilaian tender Jabatan, serta cadangan untuk mengenakan bon tender/ tender deposit bagi projek-projek yang terpilih untuk mendapatkan kontraktor yang berkelayakan didalam tender Jabatan.

Mesyuarat JKKMAR tersebut telah berlangsung pada 19 November 2020 bertempat di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya. Ia dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan di anggotai oleh Yang Berhormat Menteri-Menteri Kanan, Menteri Kabinet serta pengurusan tertinggi kerajaan.