Date: Rabu, November 16, 2016
AYER KEROH, 15 Nov - Penjawat awam yang terbabit dalam sebarang aktiviti demonstrasi yang dijadual berlangsung di ibu negara Sabtu ini boleh dikenakan tindakan tatatertib, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa. Beliau berkata, tindakan itu boleh dikenakan ke atas mana-mana penjawat awam yang didapati melanggar peraturan serta mengambil bahagian dalam perhimpunan haram terbabit.
 
"Kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana penjawat awam sama ada mereka terbabit bersama kumpulan baju merah mahupun baju kuning. "Seperti biasa, kita melarang kakitangan awam untuk terbabit dalam aktiviti seperti itu serta memberi amaran keras terhadap mana-mana pihak yang melanggar arahan ini," katanya.
 
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pengiktirafan Persada Inovasi Perkhidmatan Awam (MPIPA) 2016 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
 
 Bertemakan 'Inovasi Diperkasa, Komersialisasi Dipersada', sebanyak 67 kumpulan MPIPA dari seluruh negara bersaing untuk sembilan anugerah, termasuk Anugerah Ketua Setiausaha Negara membabitkan kategori pengurusan, teknikal dan anugerah merekacipta bunting.
 

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Naim Abu Bakar. Terdahulu, Ali dalam ucapannya, berkata MPIPA yang diadakan bertindak sebagai platform bagi mengiktiraf dan menghargai peranan penjawat awam untuk menjayakan Agenda Transformasi Negara dalam perkhidmatan awam. - BH

 
(Sumber berita dari Laman Web Rasmi Ketua Setiausaha Negara Malaysia.http://ksn.jpm.gov.my/home.php?frontpage/news/detail/18633 (link is external))