Pada 30 Januari 2020, Unit Building Information Modeling (BIM) Bahagian Pengurusan Projek Kompleks, CPAB telah menerima kunjungan delegasi yang diketuai oleh Professor Ghim Gyuhwan (Ansan University), Professor Eonyong Kim (Hanyang University) dan Puan Isma Zaida binti Din (Politeknik Port Dickson). Unit BIM, CPAB yang diketuai oleh En. Muhammad Khairi bin Sulaiman amat berbesar hati menerima kunjungan ini dan meluangkan masa untuk berkongsi kepakaran dalam pelaksanaan BIM di JKR khususnya dan Malaysia secara amnya.
Lawatan delegasi seramai 40 orang yang terdiri daripada 10 orang pegawai pengiring dan 30 orang pelajar merupakan satu inisiatif dalam mengembangkan kepakaran BIM yang merupakan satu kaedah pelaksanaan projek dan pengurusan fasiliti yang mampu diintegrasikan dengan pelbagai cabang teknologi moden terkini berpandukan kepada Revolusi Industri 4.0 setaraf dengan negara-negara maju yang lain.
Hasil daripada lawatan ini, kesemua delegasi amat berpuas hati dan teruja dengan tahap pelaksanaan BIM di Malaysia yang dilihat bukan sahaja diaplikasikan dalam skop reka bentuk malah kebolehan dalam membangunkan model BIM kepada pelbagai dimensi (nD) serta berdaya saing dalam pembangunan teknologi era digital masa kini.
Secara kesimpulannya, Unit BIM, CPAB telah menerima pelbagai kunjungan daripada pelbagai organisasi dari dalam dan luar negara sebagai pakar rujuk dan rakan kongsi strategik dalam teknologi BIM selaras dengan visi jabatan sebagai pemberi perkhidmatan bertaraf dunia dan pusat kecemerlangan.
Senarai lawatan delegasi dalam dan luar negara ke Unit BIM, CPAB;
- Petroliam Nasional Berhad, PETRONAS
- Tenaga Nasional Berhad, TNB
- Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, JUPEM
- Ansan University, Korea
- Hanyang University, Korea
- Politeknik Port Dickson
- Australia BIM Delegate, Parametric, Clough Group of Company & Jacobs, Australia
- Kolej Kemahiran Tinggi Mara Sri Gading
- Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta
- 1628 bacaan