Date: Jumaat, Oktober 15, 2021

Lawatan dan Libat Urus Jabatan Kerja Raya (Sektor Infra) bersama YBhg. Dato' Ir. Hj. Mohamad Zulkefly Bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya (KPKR) dan YBhg. Datuk Wan Ahmad Uzir Bin Hj. Wan Sulaiman, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan) Kementerian Kerja Raya telah diadakan pada 12hb Oktober 2021, bertempat di Bilik Mesyuarat Perdana, Menara Kerja Raya. Sesi Libat Urus juga turut dihadiri oleh YBhg. Dato' Ir. Haji Ahmad Redza Bin Ghulam Rasool, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra). Pengisian Sesi Libat Urus ini telah dibentangkan oleh YBrs. Ir. Mohamed Amin Bin Kasim Pengarah Kanan Cawangan Jalan, YBrs. Ir. Ibrahim Bin Esa Pengarah Cawangan Senggara Fasiliti Jalan dan YBrs Ir. Kaniah Binti Ambak menjalankan tugas Pengarah Cawangan Kejuruteraan Cerun. Turut Hadir Besama YBrs. Ir. Hanizan Binti Shaffii, Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Elektrik dan YBrs. Ir. Waznah Binti Abdul Aziz, Pengarah Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur dan Pengangkutan.

Program ini bertujuan merapatkan ikatan ukhuwah antara Jabatan Kerja Raya khususnya Sektor Infra dengan Kementerian Kerja Raya disamping membincangkan strategi terhadap beberapa isu-isu berkaitan pelaksanaan projek dan penyenggaraan jalan serta cerun. Ianya juga diadakan bagi memperkukuhkan komitmen antara pihak kementerian dan jabatan bagi memastikan setiap isu yang dibangkitkan sama ada di peringkat perancangan dan pelaksanaan di tapak dapat diselesaikan. Seterusnya peruntukan yang telah disalurkan oleh pihak kementerian dapat dibelanjakan dengan sebaik mungkin.

Sesi libat urus ini membincangkan beberapa strategi iaitu mengukuhkan fasa perancangan terutamanya dari aspek peruntukan, memastikan kerja dapat dilaksanakan dengan cekap dan teratur sertapemantauan penilaian setiap aspek projek dan penyenggaraan agar dapat memberi outcome yang lebih baik dan cepat. Ianya merupakan usahasama dalam menyelesaikan keperluan dan sokongan antara KKR dan JKR. Selain itu sesi ini juga turut membincangkan peratus prestasi belanja dan fizikal bagi Cawangan Jalan, Cawangan Senggara Fasiliti Jalan dan Cawangan Kejuteraan Cerun dimana Kementerian Kerja Raya merupakan pelanggan terbesar bagi ketiga-tiga cawangan ini.

Ucapan aluan yang telah disampaikan oleh YBhg. Dato' Ir. Hj Mohamad Zulkefly Bin Sulaiman turut menyentuh komitmen JKR terhadap “project delivery” dari semua aspek iaitu perancangan sehingga penyerahan dan penyenggaraan aset kerajaan semasa menangani pandemik COVID-19 dan usaha pemulihan negara, peranan dan tanggungjawab JKR sebagai agensi pelaksana kepada projek-projek infrastruktur berkepentingan rakyat tetap diteruskan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia. JKR sentiasa komited dengan kepercayaan yang diberikan oleh pihak KKR dan kementerian pelanggan lain terhadap membantu untuk membangunkan infrastruktur negara.

YBhg. Dato’ KPKR juga turut memperkenalkan dan menyentuh komitmen tugas JKR bagi menghadapi persiapan bencana melalui Bilik Gerakan Bencana atau lebih dikenali sebagai BiGBen yang berfungsi sebagai one stop center, di mana maklumat berkaitan kerosakan jalan dan cerun di Jalan Persekutuan akan disalurkan oleh JKR Negeri kepada BiGBen untuk dimaklumkan kepada pengguna jalan raya. Maklumat seperti jalan terputus dan jalan alternatif juga akan diberikan melalui hebahan media. Manakala pemasangan TMP dan pembaikan segera terutamanya potholes akan dilaksanakan bagi lokasi-lokasi terlibat dalam tempoh masa 24 jam.

JKR berharap melalui sesi libat urus ini, satu persetujuan dan way-forward dapat dicapai bagi memastikan penyampaian terbaik dapat diberikan kepada negara khususnya rakyat. Sebagai agensi pelaksana, pihak JKR yang mewakili kerajaan Persekutuan dalam projek-projek pembinaan dan pembaikan amat komited dalam memastikan agenda pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Amanah ini akan digalas sepenuhnya dengan melaksanakan kerja-kerja pembinaan dan penyenggaraan mengikut spesifikasi seperti yang terkandung dalam kontrak agar aset-aset infrastruktur ini sentiasa berada dalam keadaan optimum dan selamat kepada pengguna.

Program diakhiri dengan ucapan oleh YBhg. Datuk Wan Ahmad Uzir Bin Hj Wan Sulaiman, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan) Kementerian Kerja Raya yang turut berterima kasih terhadap komitmen yang diberikan oleh JKR dalam pembangunan infrastruktur negara.Sebagai tanda penghargaan kepada lawatan YBhg. Datuk TKSU (DP), satu sesi pemberian cenderahati oleh YBhg. Dato’ KPKR kepada beliau juga turut menjadi agenda program dalam program ini. Program libat urus ini telah berjaya dalam memastikan kejayaan pelaksanaan projek dan penyenggaraan aset kerajaan.

Disediakan oleh

Cawangan Senggara Fasiliti Jalan

Sesi menandatangani buku pelawat oleh YBhg. Datuk Wan Ahmad Uzir Bin Hj Wan Sulaiman , Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan) Kementerian Kerja Raya disaksikan oleh YBhg. Dato' Ir. Hj Mohamad Zulkefly Bin Sulaiman ,Ketua Pengarah Kerja Raya (KPKR) dan YBhg. Dato' Ir. Haji Ahmad Redza Bin Ghulam Rasool, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra).

Barisan pegawai tertinggi Jabatan Kerja Raya dan Kementerian Kerja Raya semasa Sesi Libat Urus Dan Lawatan YBhg. Datuk Wan Ahmad Uzir Bin Hj Wan Sulaiman, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan) Kementerian Kerja Raya

Sesi Libat Urus diantara Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya

Sesi Libat Urus diantara Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya

Penyampaian cenderahati oleh YBhg. Dato' Ir. Hj Mohamad Zulkefly Bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya (KPKR) kepada YBhg. Datuk Wan Ahmad Uzir Bin Hj Wan Sulaiman, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan) Kementerian Kerja Raya