Date: Rabu, Januari 9, 2019

Pada 8 Januari 2019, Jabatan Kerja Raya Malaysia melalui Unit Building Information Modeling (BIM), Bahagian Pengurusan Projek Kompleks, Cawangan Perancangan Aset Bersepadu telah menerima kunjungan delegasi Divisyen Project Delivery and Technology (PD&T) PETRONAS, yang diketuai oleh Ir. Mashitah bt. Hj. M. Jais (Custodian Cost Estimation).

Lawatan delegasi seramai 5 orang pegawai ini merupakan salah satu aktiviti Unit PD&T yang berperanan menyediakan solusi teknikal, projek dan penyelidikan untuk Unit Upstream dan Downstream PETRONAS, dalam usaha mempelajari konsep pelaksanaan Building Information Modeling (BIM) dan mengenalpasti penggunaan BIM yang mampu menambahbaik proses kerja sedia ada di PETRONAS.

En. Muhammad Khairi bin Sulaiman selaku Ketua Unit BIM amat berbesar hati menerima kunjungan delegasi tersebut dan memulakan program dengan ucapan alu-aluan. Seterusnya, wakil daripada Unit BIM menyampaikan taklimat ringkas kepada delegasi mengenai pengenalan BIM, pelaksanaan BIM di peringkat JKR dan nasional.

Program ini disusuli dengan sesi soal jawab dan perbincangan mengenai cadangan strategi pelaksanaan BIM di dalam organisasi PETRONAS. Sesungguhnya program ini telah membuka laluan dalam mewujudkan kerjasama yang lebih erat di antara kedua-dua organisasi pada masa hadapan bagi menjayakan pelaksanaan BIM di peringkat nasional.