Date: Isnin, Januari 30, 2023

Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE), JKR telah mengadakan satu lawatan kerja khas ke iaitu projek Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur pada 25 Januari 2023. Lawatan semasa kemajuan fizikal di tapak telah mencapai 95% (dijangka siap penghujung tahun 2023) ini telah disertai oleh 20 orang pegawai pengurusan Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE) Ibu Pejabat, yang terdiri daripada Bahagian Perunding Rekabentuk (BPR), Bahagian Perkhidmatan Pakar (BPP), Bahagian Pengurusan Korporat dan Strategik (BPKS) dan wakil Ketua Jurutera Elektrik Negeri. Delegasi lawatan  diketuai oleh Ir. Husin bin Mustafa, Pengarah Perunding Rekabentuk, CKE.

Objektif lawatan ini diadakan adalah untuk mengenalpasti dan mempelajari keunikan Menara Merdeka 118 daripada perspektif amalan kejuruteraan JKR , aplikasi tenaga hijau dan lestari, amalan terbaik pengurusan projek, cabaran untuk menyiapkan menara pencakar langit serta kecanggihan rekabentuk sistem Elektrik yang kompleks.

Taklimat berkenaan projek bernilai RM 3.5 billion ini telah disampaikan oleh YM Tengku Dato’ Ab. Aziz Tengku Mahmud selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd (PMVSB). Ia melibatkan pendedahan ekslusif berkaitan rahsia di sebalik rekabentuk dan pembinaan daripada perspektif kejuruteraan dengan bantuan video korporat yang mendedahkan sejarah Menara Merdeka 118.

Delegasi lawatan telah diberi peluang untuk menaiki lif khas yang berkeupayaan naik sehingga ke Aras 116 dalam masa sekitar 1 minit. Aras 116 ini berperanan sebagai Observation Deck dengan pemandangan panorama sekitar Bandaraya Kuala Lumpur. Lawatan diteruskan dengan melawat rekabentuk pejabat contoh yang dilengkapi raised floor sepenuhnya.

Lawatan ini telah meninggalkan satu impak dan momento berharga kepada semua pegawai JKR terlibat, berkaitan keunikan Menara Merdeka 118 sebagai salah satu daripada satu mercu tanda pencakar langit terbaru yang dimiliki oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB). Ia adalah berdasarkan fakta-fakta belakang tabir seperti berikut :

  1. Cabaran terbesar untuk menyiapkan Menara Merdeka 118 adalah K.O.O.R.D.I.N.A.S.I.
  2. Ia telah diiktiraf sebagai bangunan pencakar langit kedua tertinggi di dunia yang merangkumi 118 tingkat bangunan dan struktur Spire ibarat tangan menjulang ke langit.
  3. Ketinggian rasmi adalah 678.9 meter dengan susunan nombor menaik yang dicapai melalui kejituan kejuruteraan.
  4. Struktur Spire di puncak Menara tidak berfungsi sebagai antenna telekomunikasi.
  5. Mempunyai Observation Deck di Aras 116 yang memberikan pengalaman panorama Kuala Lumpur.
  6. Pencawang Elektrik 33 KV/433V terletak di Aras 7, 42, 77 dan 113 di mana Pancawang Elektrik pada ketinggian Aras 113 boleh diiktiraf sebagai pencawang tertinggi di Malaysia.
  7. Mempunyai 87 buah lif termasuk glass lif shaft di luar bangunan yang menyajikan pemandangan tanpa halangan Kuala Lumpur di samping keterujaan kepada kelajuan menaiki lif bangunan pencakar langit.
  8. Menara dilengkapi dengan triple glazing glass wall panel yang berfungsi sebagai penebat haba cahaya matahari dan penebat bunyi untuk kecekapan tenaga secara optimum.
  9. Berkeupayaan untuk menempatkan 10,000 warga kerja (ibarat 1 bandar dalam 1 bangunan).
  10. Rekabentuk lantai pejabat menggunakan raised floor sepenuhnya dengan ketinggian 0.5 meter yang memuatkan ruang retikulasi Sistem Mekanikal dan Elektrikal.
  11. Mempunyai Essential Sub Station (Bekalan Genset) yang dilengkapi penggunaan 33 kV/433 V Step Up Transformer.

Sekalung penghargaan khas diucapkan kepada PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd (PMVSB) yang bersedia berkongsi pengalaman dan memberikan satu lawatan yang memberi impak, ke arah mengekalkan tradisi JKR berprestasi tinggi.