Date: Khamis, Januari 7, 2021

4 Januari 2021

Pada tanggal 4 Januari 2021, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, YBhg. Dato’ Ir. Haji Zulkefly Sulaiman bersama Menteri Kanan Kerja Raya, Yang Berhormat Dato’ Sri Fadillah Haji Yusof telah mengadakan lawatan kerja ke KM84.6 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) yang terjejas teruk akibat banjir ekoran hujan lebat berterusan sejak 3 Januari 2021.

Laluan KM 84.6 - KM84.7 (Lanchang) LPT1 ditutup mulai 11.30 malam, 3 Januari 2021 sehingga kini, akibat dinaiki air sedalam satu meter sepanjang 400 meter yang dipercayai berpunca daripada limpahan air Sungai Semantan.

Sejurus tiba, YB Menteri Kanan Kerja Raya telah diberikan taklimat ringkas oleh Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, YBhg. Dato' Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein tentang punca kejadian banjir di laluan berkenaan. Turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia YBhg. Dato’ Ir. Mohd Shuhaimi bin Hassan.

Sebelum ini laluan 198.8 (Sri Jaya - Gambang) LPT1, turut ditutup bermula jam 8.40 pagi akibat dinaiki air sedalam dua kaki sepanjang satu kilometer, namun telah dibuka kembali untuk laluan pengguna jalan raya.

5 Januari 2021

Lawatan ini diteruskan pada 5 Januari 2021 dimulai dengan lokasi pertama iaitu kawasan berlakunya runtuhan di Jalan Segamat — Kuantan KM 63.0, yang mana terdapat hakisan 'road embankment'. Lawatan diteruskan ke kawasan KM 73.0. Laluan sementara telah dibuka kepada semua jenis kenderaan pada waktu petang di kedua-dua laluan tersebut.

6 Januari 2021

Pada 6 Januari 2021, lawatan diteruskan ke 2 lokasi bencana iaitu kawasan jalan terputus di Seksyen 3.0 Jalan Bentong – Raub (Lama) Daerah Bentong dan kejadian struktur ‘approach slab’ runtuh pada struktur jambatan Jalan Lechar Dong, Daerah Raub.

YB Menteri Kanan Kerja Raya dan YBhg. Ketua Pengarah Kerja Raya turut mengadakan lawatan di laluan terputus iaitu kawasan KM 115.0 dan KM 113.0 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1).

Laluan di KM113.0 dan KM 115.0 (Antara Persimpangan Lanchang ke Persimpangan Temerloh), LPT1 itu masih ditutup kedua-dua hala kepada lalu lintas susulan kenaikan air.

KM84.6 LPT1 melibatkan KM 84.6 - KM84.7 (antara Persimpangan Lanchang ke Persimpangan Karak), hala Kuantan masih lagi ditutup kepada lalu lintas. Walau bagaimanapun laluan antara Lanchang menghala ke Kuala Lumpur telah dibuka pada jam 9.00 pagi pada 5 Januari 2021.

Secara keseluruhan, sepanjang lawatan kerja pada 4-6 Januari 2021, YBhg. Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia telah turun padang di beberapa kawasan dan meninjau sendiri situasi banjir di negeri Pahang. Antara lokasi yang dilawati adalah:

1) KM84.6 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) yang terjejas dengan banjir.

2) Jalan terputus Di Seksyen 3.0, Jalan Bentong-Raub (Lama), Daerah Bentong,

3) ‘Approach Slab’ Jambatan Runtuh di Jalan Lechar Dong, Daerah Raub.

4) Cerun Runtuh di Jalan Tranum-Gap, Daerah Raub.

5) Cerun Runtuh di Jalan Kuala Lumpur-Kuantan (FT002), Daerah Kuantan.

6) Hakisan ‘Road Embankment’, Di KM 63 dan 73, Jalan Persekutuan 12 (FT12),

   Daerah Pekan.