Date: Rabu, Mei 24, 2023

Pada 22 Mei 2023 (Isnin), Yang Berhormat Dato Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya telah mengadakan lawatan bersama Yang Berhormat Fadhlina binti Sidek, Menteri Pendidikan bagi meninjau keadaan terkini Sekolah Kebangsaan Setapak, Kuala Lumpur yang terjejas teruk akibat kejadian ribut pada 19 Mei 2023.

Turut hadir sama adalah adalah YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam bin Haji Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Ir. Ahmad Redza Bin Ghulam Rasool, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, YBhg. Dato’ Ir. Hj Norman bin Hj. Md Rabani, Pengarah JKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dr. Norisah binti Suhaili, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Operasi Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia, Puan Hajah Norhayati binti Hj. Ab. Wahab, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Cawangan Senggara Fasiliti Bangunan JKR, Cawangan Kejuruteraaan Awam dan Struktur Bahagian Perkhidmantan Forensik dan wakil-wakil sekolah.

Kejadian ribut yang sama turut menyebabkan kerosakan kepada beberapa premis bangunan dan penempatan kerajaan.  YB Menteri Kerja Raya turut memaklumkan, Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menerima laporan daripada KKR sendiri, Kementerian Pertahanan (MINDEF), Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan premis-premis di bawah kementerian ini yang rosak akibat kejadian ribut.

Di bawah KKR, 5 premis rumah setingkat kuarters kerajaan telah mengalami kerosakan. Kerja pembaikan telah dilaksanakan dengan kos ditanggung oleh kementerian sendiri. Di bawah KPM pula, sebanyak 29 sekolah telah terjejas. Kos pembaikan setakat ini dianggarkan adalah sebanyak RM3 juta.