Date: Ahad, Ogos 23, 2020

Berikutan kejadian tanah runtuh dan jambatan runtuh 24 Julai 2020, JKR hari ini telah berjaya membuka semula Jalan Pos Betau – Simpang Titom (Sek. 32 dan sek. 34) dengan terbinanya jambatan bailey yang telah berjaya disiapkan dalam tempoh 7 hari sahaja. 

JKR telah dipertanggungjawabkan untuk membersihkan laluan terhalang bermula dari 25 Julai 2020 hingga 26 Julai 2020, membantu membina laluan sementara dari 29hb Julai 2020 hingga 2 Ogos 2020, dan membina jambatan bailey Jenis ACROW 700 (20 kaki lebar) dari 13 Ogos 2020 hingga berjaya disiapkan pada 19hb Ogos 2020.

Kekangan yang dihadapi semasa pembinaan adalah laluan ke tempat pembinaan  sukar kerana jalan tanah yang telah rosak dan sempit termasuklah penggunaan jentera yang terhad untuk membawa masuk komponen bailey, excavator sahaja yang boleh digunakan bagi kerja memindahkan komponen-komponen di tapak dan memasang bailey, ruang kerja yang sempit, kesukaran mendapatkan jarak maksimum (100 kaki), serta kesukaran hubungan komunikasi di pedalaman.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan pembinaan Jambatan Bailey ini, terutamanya Menteri Besar Pahang  yang telah  memberi sumbangan dalam bentuk tunai dan sijil, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, Timbalan KPKR (Sektor Infra),  Pengarah Cawangan Fasiliti Jalan, Timbalan Pengarah JKR Negeri Pahang (Memangku Pengarah Kerja Raya Pahang), Pengarah JKR Negeri Sembilan, Ketua Jurutera Mekanikal Negeri Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan, serta Jurutera Daerah JKR K.Pilah, Temerloh dan Lipis.