Date: Rabu, Ogos 12, 2020

Menteri Kanan Kerja Raya, YB. Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof telah mengadakan lawatan kerja ke Projek Menaik Taraf Jalan Persekutuan FT54 Dari Sungai Buloh Ke Assam Jawa, Daerah Kuala Selangor, Selangor pada 10 Ogos 2020. Lawatan bertujuan melihat kemajuan pelaksanaan projek serta tatacara pengurusan projek pembinaan jalan yang dilaksanakan secara Reka dan Bina ini.

Wakil Pengarah Projek (Utama), Ir. Nasfiza binti Mokhtar memulakan taklimat dengan menyampaikan pencapaian terkini projek di mana kemajuan fizikal sebenar adalah 98% berbanding jadual 93%. Tarikh siap semasa adalah pada 30 April 2021 dan projek ini dijangka dapat disiapkan lebih awal daripada jadual.

Dalam sidang media yang diadakan, YB. Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof telah berkongsi maklumat berkenaan projek antaranya:

  1. Projek ini melibatkan kerja menaiktaraf Jalan Persekutuan FT54 sedia ada sepanjang 25 km daripada laluan tunggal dua lorong – dua hala kepada laluan berkembar empat lorong – dua hala.
  2. Keselamatan pengguna jalan raya dapat dipertingkatkan melalui pertambahan elemen – elemen keselamatan jalan seperti lampu jalan, penghadang dan pembahagi jalan serta jejambat pedestrian motorcycle bridge. Jajaran jalan yang lebih baik juga dapat memendekkan masa perjalanan sebanyak 17 minit.
  3. Projek Menaik Taraf Jalan Persekutuan FT54 dijangka dapat diserahkan secara partial pada November 2020 dan disasarkan siap keseluruhannya lebih awal daripada tarikh siap semasa, 30 April 2021.
  4. Projek ini dianggarkan mempunyai penjimatan kos sebanyak RM 17 juta. Penjimatan kos ini adalah hasil perancangan teliti pihak Pejabat Tapak JKR dan kontraktor utama yang dilantik selain kerjasama erat antara agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri, Wakil Rakyat tempatan serta wakil-wakil penduduk yang terlibat.

YB. Menteri Kanan Kerja Raya membuat tinjuan ke tapak projek dan melahirkan rasa puas hati di atas kemajuan kerja projek FT54 dan berharap agar prestasi yang ditunjukkan oleh pihak Aktif Unggul Sdn Bhd selaku kontraktor utama diteruskan. Beliau juga menyatakan bahawa dengan kerjasama semua pihak, pelaksanaan projek Kerajaan dapat dilakukan dengan efektif, dalam tempoh masa dan kos yang ditetapkan.

Lawatan kerja ini turut disertai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), YBhg. Dato’ Dr. Syed Omar Sharifuddin bin Syed Ikhsan, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan dan Penswastaan KKR, YBhg. Dato’ Zahrul Hakim bin Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), YBrs. Ir. Hj. Zulakmal bin Hj. Sufian selaku Pengarah Projek, pegawai-pegawai dari Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya serta wakil-wakil media tempatan.

Pihak kontraktor utama dihadiri oleh Pengerusi Aktif Unggul iaitu YBhg. Dato Sri Zohari Bin Hj Akob, Pengarah Urusan syarikat serta kakitangan yang lain.