Date: Rabu, Mei 3, 2017

YBhg. Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Bin Abdullah, Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) telah mengadakan lawatan kerja dan pemantauan projek-projek di Negeri Kelantan selama dua (2) hari pada 30 April 2017 dan 1 Mei 2017. Antara program lawatan YBhg. Tan Sri KSP adalah ke projek yang dilaksanakan oleh JKR iaitu Projek Pembinaan Padang Bola Sepak Tiruan (Artificial Turf) di Kompleks Sukan Padang Perdana Kota Bharu, Kelantan. YBhg. Tan Sri KSP bersama rombongan Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Kewangan telah sampai ke tapak projek pada 1 Mei 2017 jam 9.00 pagi dan disambut oleh YBrs. Ir. Zamani Bin Omar, Jurutera Jajahan Kota Bharu bersama Pegawai-Pegawai Kanan JKR Ibu Pejabat, JKR Negeri Kelantan serta Setiausaha Majlis Perbandaran Kota Bharu.

Seterusnya YBrs. Encik Samsuri Bin Maslan, CKBA 1 dan YBrs. Ir. Zamani Bin Omar, Pegawai Penguasa (S.O) telah menyampaikan taklimat projek kepada YBhg. Tan Sri KSP dan rombongan. Kementerian Kewangan telah meminta JKR melaksanakan tiga (3) buah projek padang bola sepak tiruan di Kota Bharu, Labuan dan Pontian. Ketiga-tiga projek tersebut dilaksanakan sepenuhnya secara ‘in-house’ oleh JKR. Daripada tiga (3) projek tersebut, projek padang bola sepak tiruan Kota Bharu telah memulakan pembinaannya manakala dua (2) lagi projek di Labuan dan Pontian masih di peringkat perolehan.  Harga Kontrak semasa untuk padang bola sepak tiruan Kota Bharu adalah RM3,922,000.00 dengan tempoh kontrak selama 12 bulan mulai 10 Januari 2017 sehingga 8 Januari 2018. Pada masa ini kemajuan kerja di tapak telah mendahului jadual sebanyak 3% iaitu bersamaan 58 hari awal (Jadual 13% , Sebenar 16%). Kontraktor untuk projek ini adalah RS Greenmaster (M) Sdn. Bhd.

YBhg. Tan Sri KSP berpuas hati dengan penyeliaan pasukan projek JKR yang telah berjaya menguruskan projek dengan baik. Ini adalah berdasarkan kemajuan kerja di tapak yang mendahului jadual dan beliau berharap projek ini dapat disiapkan lebih awal dari tarikh siap asal kontrak. Beliau juga berharap projek yang serba canggih ini yang menggunakan teknologi dan rumput tiruan dari Jerman akan menjadi tarikan kepada belia-belia serta peminat-peminat bola sepak di Negeri Kelantan dan sekaligus meningkatkan mutu bola sepak negara.

Seterusnya YBhg. Tan Sri KSP telah mengadakan sidang media mengenai lawatan dua hari ke Negeri Kelantan di pejabat tapak padang bola sepak Kota Bharu. Sebelum menamatkan lawatan, beliau meluangkan masa membuat tinjauan di tapak bina dan beredar sekitar jam 10.30 pagi.