Date: Rabu, March 19, 2025

Labuan, 17 Mac 2025 – Pengarah Kanan Cawangan Perancangan Aset Bersepadu (CPAB), YBrs. Ir. Maria binti Marcus bersama wakil Cawangan Kerja Keselamatan (CKK) serta Cawangan Kerja Infrastruktur dan Pengangkutan (CKIP), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah mengadakan lawatan kerja ke Wilayah Persekutuan Labuan.

Lawatan ini bertujuan untuk meninjau pelaksanaan projek-projek pembangunan di bawah seliaan JKR Wilayah Persekutuan (WP) Labuan di samping memahami cabaran dan isu-isu yang dihadapi di lapangan.

Sepanjang lawatan, YBrs. Ir. Maria dan rombongan telah dibawa melawat beberapa projek utama, termasuk:

  1. Projek Menaiktaraf Jambatan Patau-Patau 1;
  2. Pembinaan RKAT Pangkalan Udara Labuan;
  3. Operasi Jeti LKIM, Kiansam; dan
  4. Projek Penggantian Struktur Dispersal Jenis Asphalt yang Rosak kepada Pavement Quality Concrete (PQC)

Turut hadir dalam lawatan ini ialah wakil dari Pejabat Pembangunan Negeri Wilayah Persekutuan, Perbadanan Labuan, dan Pertahanan Udara WP Labuan. Lawatan ini memberikan gambaran jelas tentang kemajuan projek-projek serta membantu memahami isu dan cabaran di lapangan. Selain itu dapat memperkukuh kerjasama, dan memastikan matlamat pembangunan tercapai dengan jayanya.

Selain meninjau projek, YBrs. Ir. Maria dan rombongan turut menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama warga JKR Labuan. Majlis ini menjadi platform untuk merapatkan hubungan antara pihak pengurusan dan kakitangan. Dalam ucapannya, YBrs. Ir. Maria menekankan kepentingan seperti berikut:

  1. Kesatuan hati dan kerjasama dalam melaksanakan tugas;
  2. Penerapan nilai-nilai murni seperti integriti, komitmen, dan semangat berpasukan;dan
  3. Mencabar status quo untuk mencapai anjakan paradigma dalam sektor awam.

Sehari sebelum lawatan kerja rasmi, YBrs. Ir. Maria dan rombongan turut menghadiri majlis berbuka puasa bersama warga JKR Labuan. Majlis ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan sosial dalam kalangan warga JKR, malah menanamkan nilai kebersamaan dan kesyukuran sempena bulan Ramadan.

#IamJKR #KitaJKR #JKRsynergy 
#JasaKepadaRakyat