Date: Jumaat, September 4, 2020

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri , YB. Dato' Sri Mustapa Mohamed yang turut merupakan sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi telah mengadakan lawatan kerja ke Projek Naiktaraf Kompleks Majlis Sukan Negara  pada 3 September 2020. Lawatan bertujuan melihat kemajuan pelaksanaan projek serta tatacara pengurusan projek pembinaan projek  yang dilaksanakan secara konvensional (perunding).

Pegawai Penguasa Projek,  Ir. Maria Binti Marcus  memulakan taklimat dengan menyampaikan pencapaian terkini projek di mana kemajuan fizikal sebenar adalah 93.52% berbanding jadual 95.80%. Tarikh siap semasa adalah pada 30 Oktober 2020.

YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri membuat tinjuan ke tapak projek dan berharap agar prestasi yang ditunjukkan oleh Haluan Prisma Sdn Bhd selaku kontraktor utama diteruskan dan dipertingkatkan bagi membolehkan kerja-kerja disiapkan pada akhir Disember  2020. Beliau juga menyatakan bahawa dengan kerjasama semua pihak, pelaksanaan projek kerajaan dapat dilakukan dengan efektif, dalam tempoh masa dan kos yang ditetapkan.

Lawatan kerja ini turut disertai oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), YBhg. Datuk Badrul Hisyam Bin Mohd, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (KPKR) YBhg. Dato' Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (TKPKR Sektor Bangunan) YBrs. Ir. Razdwan bin Kassim, Pengarah Cawangan Kerja Bangunan Am 2, YBrs Puan Samimi Binti Omar, Pengarah Jkr Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, YBrs. Ir Maria Binti Marcus selaku Pegawai Penguasa Projek, pegawai-pegawai dari Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya serta wakil-wakil media tempatan. Pihak kontraktor utama dihadiri oleh Pengerusi  Haluan Prisma Sdn. Bhd.  iaitu YBhg. Dato’ Haji Samsuri bin Rahmat, Pengarah Urusan Syarikat serta kakitangan yang lain.

Dalam sidang media yang diadakan, YB. Dato’ Sri Mustapa Mohamed turut berkongsi maklumat. Antaranya:

  1. Salah satu sektor yang dipantau oleh Majlis Tindakan Ekonomi adalah prestasi sektor pembinaan dimana terdapat kesan-kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengganggu prestasi sektor pembinaan .
  2. Perbelanjaan pembangunan Kerajaan sehingga 16 Ogos 2020 adalah  48.48% iaitu sebanyak RM69 billion sahaja dan pemantauan prestasi projek perlu dijalankan secara terperinci. 
  3. Kerajaan turut mengambil tindakan bagi mempercepatkan proses tender projek antaranya menurut KPKR JKR  sejak Jun 2020 sebanyak 251 tender telah dikeluarkan.