Date: Jumaat, Januari 13, 2017
13 Januari 2017 - Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha telah mengadakan lawatan ke JKR Daerah Kinta, Negeri Perak Darul Ridzuan sebagai sebahagian daripada program Lawatan Dato’ Sri KPKR ke ‘1 Negeri, 1 Daerah’ di seluruh negara pada tahun ini. Program lawatan ini bertujuan untuk beramah mesra dan mengeratkan hubungan, di samping untuk menyampaikan amanat kepada warga JKR.
Program bermula sekitar jam 8.30 pagi dengan ketibaan YBhg. Dato’ Sri KPKR di Pejabat Jurutera Daerah Kinta diiringi oleh YBrs.Sr Zailan bin Lagiman, YBrs. Mejar Ir. Suhaizad bin Hj. Sulaiman dan YM Ir. Raja Fairol Farouk bin Raja Abd Assiss, Pegawai-pegawai Khas KPKR. YBrs. Tn. Hj. Meor Mohamed Haris bin Meor Hussein, Jurutera Awam Penguasa Kanan, Bahagian Pembangunan Skim Kejuruteraan,CDPK turut serta mengiringi rombongan YBhg. Dato' Sri KPKR. Rombongan Dato’ Sri KPKR telah disambut oleh YBhg. Dato' Hj. Jamilol Nasir bin Saad, Pengarah Kerja Raya Negeri Perak, YBrs. Ir. Abu Bakar bin Mohamed Said, Timbalan Pengarah Kerja Raya Negeri Perak, YBrs. Ir. N Naelah bt Mat Kasa, Jurutera Daerah Kinta dan juga seluruh kakitangan JKR Daerah Kinta.
Program diteruskan dengan Taklimat ringkas aktiviti/projek di JKR Daerah Kinta yang telah disampaikan oleh Jurutera Daerah Kinta dan seterusnya penyampaian amanat kepada kakitangan JKR Daerah Kinta oleh YBhg. Dato’ Sri KPKR. Antara amanat yang disampaikan adalah:
- Peranan yang dimainkan oleh setiap warga JKR adalah penting,tidak kira di jawatan atau gred mana sekalipun, kerana setiap individu mempunyai peranan dan sumbangan masing-masing yang sama penting.
- Bekerja sebagai satu pasukan yang mantap dalam suasana keluarga yang harmoni dengan menghapuskan jurang tetapi menghormati setiap individu berdasarkan peranan, jawatan dan tanggungjawab masing-masing.
- Meningkatkan integriti dan ketelusan disemua peringkat dan aktiviti dalam usaha menangani persepsi negatif terhadap JKR berkaitan isu salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya.
- Mengembalikan kegemilangan JKR dengan menghasilkan dan menyampaikan perkhidmatan/produk terbaik selaras dengan kehendak dan aspirasi kerajaan dan rakyat.
- Menggunapakai peraturan dan SOP jabatan bagi meningkatkan ketelusan serta mengurangkan persepsi menggunakan terlalu banyak budibicara yang boleh membawa implikasi negatif.
- Menjadikan proses, peraturan dan proses auditan sebagai langkah positif yang perlu diterima dan dipatuhi bagi meningkatkan sistem penyampaian dan bukan penghalang atau melemahkan semangat melaksanakan tugas.
- Memperbanyakkan dan menerajui aktiviti-aktiviti bersepadu bersama lain-lain jabatan kerajaan (NBOS) dalam melaksanakan kerja-kerja hakiki bagi tujuan menyahut seruan kerajaan dalam perbelanjaan berhemah disamping membuat kerja-kerja amal untuk menaikkan nama baik JKR di mata orang awam.
- Menggalakkan semua kakitangan untuk peka dan pantas dalam menjawab aduan terutamanya di dalam media sosial/ surat khabar/ saluran aduan yang lain. Strategi ini dapat memberikan imej positif jabatan kepada orang awam sebagai sebuah jabatan yang amat responsif.
- Mengoptimumkan penggunaan sumber jabatan iaitu dari segi tenaga kerja atau jentera dalam melaksanakan tugas-tugas hakiki samaada menggunakan peruntukan negeri atau persekutuan. Tujuaannya adalah mengembalikan kegemilangan JKR dimana tahun-tahun terdahulu kebanyakannya kerja-kerja dilaksanakan sendiri oleh jabatan dan lebih berkualiti serta belanja berhemah disamping menaikkan imej jabatan pada pandangan orang awam.
- Mewujudkan hubungan baik bersama wartawan/pengamal media bagi tujuan mewar-warkan pencapaian jabatan sekurang-kurangnya 2 bulan sekali di dalam akhbar nasional/setempat. Langkah ini dapat mengangkat nama jabatan serta meminimakan persepsi buruk rakyat kepada jabatan.
Lawatan kerja YBhg. Dato' Sri KPKR diakhiri dengan lawatan ke projek jambatan di Batu Gajah Perak. Semoga Program Lawatan oleh Dato’ Sri KPKR ini akan meningkatkan hubungan dan persefahaman semua warga JKR demi mencapai kesepakatan yang diharapkan.
- 1642 bacaan