Date: Rabu, Julai 5, 2023

Lawatan Penanda Aras Malaysian Government Performance Index (MyGPI) oleh Bahagian Audit Prestasi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah diadakan pada 4 Julai 2023 (Selasa). Lawatan ini bertujuan untuk JPS mendapatkan pendedahan awal terhadap proses dan kaedah pelaksanaan MyGPI yang telah dilaksanakan oleh JKR Malaysia sehingga berjaya mencapai penarafan MyGPI kategori PLATINUM dan juga sebagai penanda aras bagi JPS untuk memperolehi penarafan tersebut.

Lawatan ini disambut baik oleh Bahagian Pengurusan Perubahan dan Prestasi, Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat selaku Urus Setia Induk MyGPI bagi Ibu Pejabat JKR Malaysia. Satu taklimat berkaitan pelaksanaan MyGPI di Ibu Pejabat JKR Malaysia telah disampaikan oleh pihak Urus Setia dan disusuli dengan sesi soal jawab di antara pasukan JPS dan Ahli Jawatankuasa Tadbir Urus MyGPI JKR.

Akhir sekali, pihak Urus Setia Induk MyGPI Ibu Pejabat JKR Malaysia merakamkan jutaan terima kasih kepada pasukan JPS yang hadir dan berharap agar perkongsian yang telah disampaikan dapat menjadi pemangkin semangat kepada pihak JPS dalam mencapai matlamat untuk memperolehi penarafan MyGPI kelak.