Pada 12 Januari 2025, sesi turun padang YBhg. Datuk Wira Ketua Pengarah Kerja Raya bagi tahun 2025 dimulakan dengan lawatan tapak ke projek Peningkatan Jeti Operasi Lumut, Perak. Projek yang dimulakan pada 28 Disember 2020 itu merupakan sebagai persediaan Kementerian Pertahanan Malaysia di bawah Tentera Laut Diraja Malaysia bagi menerima vessel jenis Littoral Combat Ship (LSC) yang dijangka diterima pada tahun 2026.
Oleh itu, sebagai rakan kongsi strategik, YBhg. Datuk Wira Ir. Roslan bin Ismail menitik beratkan misi JKR dalam memenuhi kehendak dan keperluan pelanggan sejajar dengan objektif Kementerian Pertahanan Malaysia iaitu melindungi dan mempertahankan kepentingan negara yang menjadi teras kepada kedaulatan, keutuhan wilayah dan kesejahteraan ekonomi.
Projek yang bernilai RM90.0 juta itu telah diuruskan oleh Pasukan Projek Persekutuan Negeri Perak dimana Pengarah JKR Perak bertindak sebagai Pengarah Projek. Di dalam sesi lawatan tersebut, YBhg. Datuk Wira telah memberikan suntikan idea dan semangat kepada pasukan projek terutama usaha dalam menyiapkan projek sebagaimana yang telah dijanjikan kepada pihak pelanggan. Nilai pengurusan skop kerja di tapak yang baik, kesegeraan dalam tindakan dan pemantauan kerja di tapak yang rapi oleh kontraktor dan pasukan projek telah ditekankan oleh YBhg. Datuk Wira Ketua Pengarah sepanjang lawatan.
Sesi lawatan dimulakan dengan pembentangan oleh YBrs. Ir. Haji Zamri bin Kasim, Pengarah JKR Negeri Perak di pejabat tapak dan disusuli dengan lawatan di tapak binaan.
Diharapkan projek dapat disiapkan November 2025 dan menjadi pembukaan tahun yang positif bagi tahun 2025 agar JKR Malaysia terus melonjak naik sebagai jabatan teknikal terulung negara Malaysia.


- 775 bacaan